
Foto Hiasan
Malaysia akan menerima sepasang panda gergasi baharu yang dianggap sebagai utusan khas China bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Penerimaan itu susulan Pemeteraian Perjanjian Baharu Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara kerajaan Malaysia dan China susulan lawatan Presiden Xi Jinping ke negara ini.
Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim bagi pihak kerajaan Malaysia, manakala Setiausaha Agung China Wildlife Conservation Association (CWCA), Yan Jian, mewakili pihak RRC.
Pertukaran dokumen perjanjian itu diwakili Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, manakala China diwakili Duta ke Malaysia, Ouyang Yujing, dengan majlis disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jinping.
Nik Nazmi melalui kenyataannya berkata projek kerjasama ini menjadi simbol persahabatan erat antara Malaysia dan China dan ia memupuk diplomasi konservasi, selari semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan kerjasama antarabangsa dalam usaha kelestarian.
"Saya berharap Giant Panda yang merupakan utusan khas daripada kerajaan China ini dapat menggalakkan lagi persefahaman dan kerjasama erat antara dua negara.
"Malaysia akan terus komited dalam usaha kerjasama dengan China demi konservasi dan meningkatkan kerjasama saintifik dalam pemeliharaan spesies hidupan liar ikonik panda gergasi," katanya.
Malaysia melalui perjanjian terdahulu yang dimeterai 15 Jun 2012 menerima sepasang panda gergasi untuk tempoh 10 tahun yang ditempatkan di Pusat Konservasi Giant Panda di Zoo Negara. Negara kita menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam menjaga panda tersebut.
Ketiga-tiga anak panda gergasi dihantar pulang ke China sebagai mematuhi terma perjanjian.
Nik Nazmi juga berharap Giant Panda yang merupakan utusan khas daripada RRC dapat menggalakkan lagi persefahaman dan kerjasama erat di antara kedua-dua negara.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.