
Foto: JPJ
Seorang pemandu kereta Lamborghini, iaitu lelaki warga China tanpa lesen ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya di Jalan Bangsar.
Dia ditahan sewaktu Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang dijalankan bermula 8 malam itu. Saman telah dikeluarkan kepada pencipta kandungan itu.
Semasa pemeriksaan dilakukan, lelaki itu dan kekasihnya dalam perjalanan pulang ke Damansara Heights. Dia diminta untuk mengemukakan lesen memandu sah, namun lelaki itu mengakui tidak memiliki dokumen berkenaan.
Bagaimanapun, dia mengemukakan pasport miliknya kepada pegawai terbabit dan mendakwa sudah menetap di negara ini sejak tujuh tahun lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, lelaki itu antara 211 pemandu yang diambil tindakan dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Menurutnya, operasi membabitkan 115 pegawai dan anggota menjalankan pemeriksaan keseluruhan 1,627 kenderaan.
"JPJ Kuala Lumpur mengeluarkan 463 notis atas pelbagai kesalahan antaranya cukai jalan dan insurans tamat tempoh, tiada lesen memandu serta mengubahsuai kenderaan.
Turut hadir, Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Erick Jusiang.
Dalam pada itu, Hamidi berkata, JSPT Kuala Lumpur turut mengeluarkan 30 notis terhadap pemandu kenderaan atas pelbagai kesalahan, manakala JIM menahan tiga warga Indonesia termasuk dua wanita dan AADK menahan tiga individu selepas ujian saringan mendapati positif ganja.
Beliau berkata, Op HRA yang bermula 24 Mac lalu sehingga 8 April itu diadakan bertujuan memastikan tahap keselamatan jalan raya pada musim perayaan.
Sepanjang operasi berkenaan katanya, 15,490 kenderaan diperiksa di sekitar Kuala Lumpur dengan 1,729 kenderaan diambil tindakan, manakala 4,559 notis atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan dan 24 kenderaan disita.
Kata beliau, pemeriksaan secara menyeluruh dan berkala akan dijalankan termasuk di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) membabitkan pemeriksaan teknikal kenderaan, lesen dan permit bagi memastikan keselamatan penumpang awam terjamin.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.