
Buku merah ataupun passport sememangnya wajib dimiliki buat kaki travel. Tanpanya, anda tidak boleh ke luar negara ataupun masuk ke negara lain selain Malaysia. Terkini, kerajaan memperkenalkan passport Malaysia yang berwajah baru pada 15 November lepas dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan serta penambahan dari segi kemasan.
Rekaan terkini mengambil inspirasi dari rekaan batik yang berwarna biru, merah dan oren. Pada bahagian dalam pula, terdapat reka bentuk bermotif songket dengan tenunan keemasan, selain dua kuntum bunga raya yang kembang mekar di bahagian belakang.


Pada helaian dokumen ini juga turut memaparkan symbol ikonik dan mercu tanda negara seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Istana Negara, dan juga puncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu.
Datuk Seri Mustafar Ali, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, berkata passport baru ini dibina berdasarkan konsep rukun negara, tradisional, flora dan fauna yang membawa maksud kepada kedamaian dan kesejahteraan negara.
"Konsep lima rukun negara ini dapat dilihat menerusi paparan awal gambar-gambar masjid iaitu simbolik kepada kepercayaan kepada Tuhan, Istana Negara (kesetiaan kepada raja dan negara), bangunan Parlimen (keluhuran perlembagaan), Istana Kehakiman (kedaulatan undang-undang) dan Muzium Negara yang menunjukkan warisan dan budaya kita (kesopanan dan kesusilaan)," katanya.

Passport terbaru ini mendapat reaksi positif dari orang ramai yang menyifatkan ianya antara passport paling tercantik di dunia.

"Muka surat biodata polikarbonat disertakan bersama cip di dalamnya berbanding sebelum ini cip di bahagian belakang pasport.
"Setiap halaman pada pasport juga mempunyai ciri keselamatan tambahan. Pengesahan dari segi ketulenan pasport tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan hanya didedahkan melalui cahaya ultra-violet (UV)," katanya sambil menambah kedudukan baharu cip itu menyukarkan pemalsuan maklumat dan bacaan data yang lebih mudah.
Sehingga 29 November yang lepas, hampir 20,000 passport Malaysia telah pun dikeluarkan. "Secara keseluruhan, sebanyak 1.7 juta pasport dikeluarkan dari Januari sehingga Oktober tahun ini dan secara purata Jabatan Imigresen mengeluarkan dua juta pasport setahun,"tambahnya lagi.
Passport versi baru ini hanya dikeluarkan di Pejabat Imigresen Menara Ikhlas, Putrajaya sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara. Passport lama masih lagi sah digunakan dan passportversi baru ini hanya untuk permohonan baru sahaja.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.