
Foto: Berita Harian
Seorang pekerja kebun, Muhammad Firdaus Baktehir, 29, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas tuduhan membunuh dengan cara membakar kenalan wanita, yang juga ibu kepada tiga anak, menggunakan petrol pada minggu lalu.
Memetik laporan Berita Harian, tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika hukuman mati tidak dikenakan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, sementara tertuduh tidak diwakili oleh peguam.
Dalam pada itu, tiada jaminan ditawarkan, dan mahkamah turut menetapkan 24 April untuk sebutan semula kes bagi laporan forensik.
Tertuduh tiba di mahkamah pada pukul 8.30 pagi, diiringi oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.
Dalam perjalanan, tertuduh berjalan terencut-rencut akibat kedua-dua paha melecur akibat disambar api dalam kejadian tersebut.
Menurut laporan bomba, kebakaran berlaku di sebuah rumah yang melibatkan dua individu iaitu mangsa dan tertuduh yang melecur. Siasatan awal polis mendapati kebakaran bermula apabila tertuduh menyimbah petrol dan menyalakan api dengan pemetik api.
Kebakaran itu menyebabkan mangsa, Syarah Nurul Masturah Abdullah, 31, melecur sebanyak 74 peratus, manakala tertuduh mengalami melecur 13.5 peratus dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Malangnya, mangsa meninggal dunia pada pukul 9.54 malam keesokan harinya.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Syarah Nurul Masturah Abdullah di sebuah rumah di Kampung Baru, Sri Gading, pada jam 5 petang, 8 Mac lalu.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.