Foto: IPD Sepang
Seorang pelajar perempuan berusia 20 tahun dari sebuah universiti tempatan telah ditemui meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan di sebuah kondominium di Cyberjaya pada hari Selasa lalu.
Memetik laporan Bernama, polis kini menyiasat kes ini sebagai satu kes bunuh melihatkan beberapa fakta kes yang kini sedang dikenalpasti.
Perkembangan siasatan mendapati suspek dalam kes ini telah melakukan beberapa transaksi pengeluaran wang menggunakan kad ATM milik mangsa selepas kejadian pembunuhan berlaku.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, sebanyak lima hingga enam transaksi telah dikesan berlaku di sekitar kawasan ibu negara.
“Berdasarkan siasatan kita, suspek lelaki tersebut dipercayai mula mengeluarkan wang dari akaun mangsa menggunakan kad perbankan miliknya tidak lama selepas mangsa dibunuh.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti suspek dan mengesan lokasi keberadaannya,” jelas beliau kepada media.
Sementara itu, siasatan awal ke atas tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk ke dalam unit kediaman mangsa.
Polis menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 10.28 pagi dan ketika tiba di lokasi, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa mendedahkan terdapat kecederaan pada bahagian kepala. Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk tujuan bedah siasat.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan tumpul di kepala (blunt force trauma to the head). Tiada sebarang kesan kecederaan yang menunjukkan unsur rogol.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Husny Hussien di talian 012-9307860 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam masa yang sama, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih, atau bertindak secara melulu yang boleh mengganggu proses siasatan dan melanggar undang-undang.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.