Foto: Bernama
Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi bintang veteran apabila pelakon Nu’man Mohd Salleh, yang lebih dikenali dengan nama Charlie, meninggal dunia pada usia 71 tahun semalam selepas bertarung dengan kanser usus tahap empat.
Adik Allahyarham, Yusri Salleh, memaklumkan bahawa abangnya menghembuskan nafas terakhir di rumah anak perempuannya di Sri Rampai, Kuala Lumpur, pada pukul 8.15 malam.
“Arwah terlantar sakit sejak Khamis lalu dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
"Doktor mengesahkan dia menghidap kanser usus sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi. Pada hari Jumaat, arwah dibenarkan pulang ke rumah namun keadaannya semakin tenat dan tidak mampu bercakap,” katanya kepada Bernama.
Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati selepas solat Zohor hari ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh.
Allahyarham Charlie, yang juga seorang bapa tunggal, meninggalkan tujuh orang anak. Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam dalam industri hiburan, terutama dalam kalangan peminat yang mengenali beliau sebagai pelakon serba boleh dan berbakat besar.
Sumber: Astro AWANI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.