
Foto: Astro Awani
Pemandu lori yang terlibat dalam tragedi kemalangan maut melibatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) baru-baru ini telah dibebaskan daripada tahanan reman selepas wang jaminan sebanyak RM6,000 dibayar oleh majikannya.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, tertuduh dibebaskan dengan jaminan setelah majikannya hadir bersama seorang penjamin bagi menyempurnakan proses tersebut
“Pemandu lori ini akan diberi jaminan mahkamah di mana majikannya telah membayar wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin,” ujar beliau kepada media.
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Md Radi, 45 tahun, sebelum ini telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada 16 Mei lalu, dan mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum sepuluh tahun, denda sehingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama sekurang-kurangnya lima tahun.
Insiden tersebut berlaku pada 13 Mei 2025 kira-kira jam 9.05 pagi di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik, daerah Hilir Perak, apabila lori jenis Hino bernombor pendaftaran AKL 4674 yang dipandu tertuduh dipercayai hilang kawalan dan merempuh trak FRU yang membawa anggota dari Unit Simpanan Persekutuan.
Nahas itu meragut sembilan nyawa anggota keselamatan, termasuk Sarjan S. Perumal, 44, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Dalam prosiding sebelum ini, Hakim Nurhamizah Shaffiuddin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 untuk kesemua pertuduhan, dengan syarat beliau perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap minggu. Selain itu, lesen memandunya turut digantung buat sementara waktu sepanjang tempoh perbicaraan.
Tarikh sebutan semula kes telah ditetapkan pada 17 Jun 2025 bagi membolehkan pelantikan peguam serta pengurusan dokumen berkaitan kes pendakwaan dan pembelaan.
Insiden ini mengundang perhatian masyarakat memandangkan ia melibatkan kematian ramai anggota pasukan keselamatan. Pihak berkuasa kini meneruskan siasatan secara menyeluruh untuk memastikan keadilan ditegakkan bagi semua mangsa dan keluarga yang terkesan.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.