
Foto: Astro Awani
Pemandu trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Koperal Mohd Harrisul Ikhsan tidak dapat menahan sebak apabila diberitahu sembilan rakan seangkatannya telah terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan.
Mmetik laporan Astro Awani, beliau yang kini dirawat di Hospital Teluk Intan mengalami kecederaan di kepala dan tulang rusuk, namun kesakitan fizikal itu tidak sebanding dengan beban emosi yang ditanggungnya sejak kejadian.
Menurut isterinya, Nor Ain Ahmad Hesam, suaminya sangat terkesan dan menyalahkan diri sendiri setelah mengetahui nasib rakan-rakannya.
“Dia tak boleh terima berita itu. Dia ulang banyak kali kata dia minta maaf. Dia kata, ‘Kalau saya tak bawa, mungkin mereka semua masih ada’,” kata Nor Ain dengan nada sedih.
Tambah Nor Ain, suaminya turut menangis dan mohon maaf kepada rakan-rakan yang terselamat, termasuk melalui panggilan video kepada Koperal Nizam Tarmizi.
“Mereka sama-sama menangis. Suami saya hanya mampu kata ‘maaf, maafkan saya’, dan kawan-kawan dia cuba tenangkan,” katanya lagi.
Dalam keadaan yang masih lemah dan belum pulih sepenuhnya, Harrisul turut menerima kunjungan daripada Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli yang juga merupakan antara anggota seangkatan.
Zulnaidi memeluknya sambil memberikan kata semangat agar dia tidak terus menyalahkan diri kerana kejadian itu bukan salah sesiapa.
“Suami saya masih trauma. Tapi Alhamdulillah sekarang dah boleh makan, dah boleh berjalan sendiri ke tandas. Doktor pun kata dia menunjukkan tanda pemulihan yang baik, cuma emosi dia masih belum stabil,” jelas Nor Ain lagi.
Kemalangan yang berlaku sekitar jam 8.50 pagi itu melibatkan trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh ke Teluk Intan. Trak tersebut bertembung dengan sebuah lori membawa batu kerikil.
Lapan anggota disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital. Tragedi itu menggoncang emosi banyak pihak, terutama keluarga dan rakan setugas yang kehilangan insan-insan tersayang dalam sekelip mata.
Nor Ain turut berkongsi bahawa ramai anggota FRU dan ahli keluarga lain yang hadir memberikan sokongan moral kepada suaminya.
“Mereka kata, ‘Harrisul, ini bukan salah kau. Ini ketentuan Tuhan. Kami semua tahu kau bukan cuai.’ Itu banyak bantu redakan rasa bersalah dia,” katanya.
Biarpun masih dalam rawatan, Harrisul tetap tidak henti-henti menyebut nama rakan-rakan yang telah pergi. Setiap kali menyebut nama mereka, air matanya mengalir. Isterinya berkata, “Dia ingat semua seorang demi seorang. Dia ulang nama mereka, seolah-olah masih berharap semua itu hanya mimpi.”
Insiden ini menjadi detik hitam buat pasukan FRU dan seluruh warga keselamatan negara. Namun dalam kesedihan dan duka yang menyelimuti, semangat setiakawan, sokongan keluarga dan doa masyarakat menjadi sumber kekuatan buat mereka yang masih berjuang meneruskan hidup.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.