
Foto: Tangkap layar video
Satu insiden kekecohan telah tercetus dalam sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Xiamen Airlines apabila sekumpulan peminat bertindak melulu menyerbu ruang kabin kelas perniagaan semata-mata untuk mendekati dan bergambar dengan pelakon terkenal China, Tian Xu Ning.
Kejadian tersebut berlaku pada 8 Julai lalu dalam penerbangan MF8330 dari Changsha ke Fuzhou, ketika pesawat sedang bersiap untuk mendarat. Menurut rakaman video yang tular di media sosial China, beberapa penumpang dilihat cuba meluru ke arah tempat duduk pelakon berkenaan yang terletak di kerusi bernombor 11L.
Kekecohan itu memaksa tiga orang kru kabin bertindak pantas dengan menarik tirai pemisah antara kelas ekonomi dan kelas perniagaan sambil mengarahkan para penumpang kembali ke tempat duduk masing-masing.
“Jangan tolak ke depan, pesawat belum berhenti lagi,” demikian kedengaran suara salah seorang pramugari yang berusaha menenangkan keadaan.
Walaupun keadaan agak tegang, Tian Xu Ning, 27, tidak memberikan sebarang reaksi sepanjang insiden berlaku. Pelakon muda itu mula meraih perhatian ramai selepas membintangi drama bersiri popular bertajuk Revenged Love yang ditayangkan awal tahun ini.
Difahamkan, ini bukan kali pertama Tian berdepan gangguan daripada peminat fanatik. Dalam satu kejadian berasingan ketika menaiki penerbangan lain, beliau sekali lagi diganggu apabila beberapa individu menjerit tuduhan tidak berasas, kononnya Tian mempunyai teman wanita dan anak yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
“Suruh teman wanita kamu jangan muncul di khalayak,” jerit salah seorang peminat.
Malah, ada yang mendesak pelakon itu untuk “memutuskan hubungan” dengan wanita tersebut meskipun identiti yang dimaksudkan tidak jelas.
Pihak pengurusan Tian Xu Ning dalam satu kenyataan rasmi menafikan dakwaan tersebut dan meminta peminat untuk menghormati privasi selebriti berkenaan.
“Tian Xu Ning masih bujang dan tidak mempunyai anak. Kami merayu agar semua pihak menghentikan spekulasi dan memberikan ruang privasi kepada beliau,” tegas wakil agensinya.
Insiden yang berlaku ini mendapat kecaman meluas dalam kalangan pengguna media sosial China. Rata-rata netizen menyifatkan tindakan peminat terbabit sebagai tidak wajar, melampaui batas dan memalukan.
“Ini sangat menyedihkan. Artis juga manusia biasa. Mereka hanya ingin melakukan kerja mereka. Pihak agensi perlu ambil tindakan undang-undang,” ujar seorang pengguna menerusi komen di platform sosial Weibo.
Dalam pada itu, pakar undang-undang memberi amaran bahawa sebarang tindakan mengganggu kru kabin, menghalang laluan dalam pesawat atau mencetuskan kekecohan ketika penerbangan boleh dianggap sebagai kesalahan mengganggu ketenteraman awam di bawah undang-undang keselamatan penerbangan Republik Rakyat China.
Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda sehingga 200 yuan (sekitar RM130) atau hukuman penjara maksimum 10 hari. Bagi kes yang lebih serius sehingga menjejaskan keselamatan penerbangan, tindakan jenayah boleh dikenakan.
Sumber: X
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.