Bayi lelaki berusia tiga bulan diselamatkan pengasuhnya yang nekad meredah asap tebal apabila rumah berlaku kebakaran di Jalan Raja Muda Musa, yang terletak berhampiran pintu gerbang Kampung Baru.
Robiah Abdul Raof yang merupakan pengasuh menceritakan detik cemas kejadian dia bersama bayi yang dijaganya berada di dalam rumah sebelum terlihat asap di bahagian atas.
"Ketika itu, bayi sedang tidur dan saya segera keluar menyelamatkan diri tanpa sempat membawa pakaian atau dokumen pengenalan.
"Keadaan ketika itu api sedang marak (di tingkat atas) dan asap banyak tetapi saya nekad untuk selamatkan diri dan bayi yang saya asuh sejak tiga bulan lepas. Ketika kejadian, ibu bapa bayi itu sedang bekerja," katanya.
Namun, dia masih trauma akan kejadian itu dan tetap bersyukur atas tindakan pantasnya untuk menyelamatkan dirinya dan bayi itu.
Punca kebakaran difahamkan berlaku akibat litar pintas terhadap keadaan rumah yang sudah usang yang kini memasuki usia 60 tahun.
"Sebelum ini, pekerja ada beritahu ada masalah wayar dan saya sudah baiki tetapi kali ini, jadi sekali lagi sebelum berlaku kebakaran malam ini," ujarnya.
Kira-kira jam 8.19 malam, premis kediaman yang mempunyai lima pintu rumah musnah dalam kebakaran dan rumah itu menempatkan pekerja-pekerja seorang majikan.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.