Foto: Kosmo
Dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan kehilangan penyanyi popular era 1990‑an, Shaharim Salehuddin atau lebih dikenali sebagai Sheqal, yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 12.31 tengah hari di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan, selepas beliau ditidurkan sejak 6 Jun lalu pada usia 60 tahun.
Menurut isterinya, Normah Mohd Yusoff, jenazah arwah masih berada di hospital dan dijangka akan dikebumikan di kampung halaman keluarga di Raub, Pahang. Beliau menyampaikan dalam nada tenang:
“Allahyarham meninggal dunia ketika dia ditidurkan. Tiada lagi kesakitan dan semuanya berlaku dalam keadaan sangat tenang”
Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 4 Jun lalu akibat komplikasi pernafasan yang serius dan memerlukan rawatan rapi.
Dua hari kemudian, beliau ditidurkan bagi membolehkan pasukan perubatan mengawasi tahap kesedaran serta komposisi oksigen dalam tubuh secara teliti.
Sheqal yang terkenal menerusi lagu-lagu seperti Zapin Rindu‑rinduan, Cinta Nusantara dan Ratib Orang Lautan, merupakan antara figura penting dalam genre muzik pop tradisional.
Beliau pernah bernaung di bawah produksi penerbit terkenal Manan Ngah dan sering dibandingkan setaraf dengan artis lain seperti Kopratasa, M. Nasir, To’ki, ND Lala, Noraniza Idris dan Zainal Abidin.
Sepanjang hayatnya, Sheqal telah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali. Daripada perkahwinan pertamanya bersama Raja Ema, beliau dikurniakan dua anak lelaki iaitu Putera Ammar dan Putera Al‑Kasyah.
Manakla, daripada perkahwinan kedua bersama Normah pula, beliau mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Fatullah serta seorang anak perempuan, Ummu Hani.
Pada penghujung hayatnya, beliau mula bergiat aktif sebagai seorang usahawan dan pakar motivasi dan tidak lagi kembali ke dunia rakaman sejak album terakhirnya pada tahun 1998. Meskipun begitu, warisan karya muzik beliau terus kekal relevan dan mendapat penghormatan daripada generasi hari ini.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.