
Foto sekadar hiasan
Dalam satu langkah tegas demi menjaga kesejahteraan dan kesihatan rakyat, Kerajaan Negeri Perlis telah mengumumkan pengharaman sepenuhnya terhadap penjualan rokok elektronik atau vape yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
Memetik laporan Kosmo, pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
Beliau menjelaskan bahawa larangan ini merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk menangani kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan buruk penggunaan vape, khususnya dalam kalangan remaja dan belia.
“Kerajaan Negeri mengambil serius isu vape ini kerana ia memberi kesan kepada kesihatan masyarakat, terutama golongan muda.
“Keputusan ini juga selari dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penggunaan vape berdasarkan pertimbangan syariah dan kesihatan,” jelas beliau dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Langkah ini bakal memberi impak kepada kira-kira 50 premis perniagaan di seluruh negeri yang kini menjalankan operasi penjualan vape dan produk berkaitan. Namun, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk membiarkan peniaga terjejas tanpa bantuan.
Sebaliknya, satu pelan sokongan akan disediakan bagi membantu mereka beralih ke sektor perniagaan lain yang lebih lestari dan tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat.
“Para peniaga yang terlibat diberi tempoh sehingga 1 Ogos untuk menamatkan jualan produk vape mereka. Dalam tempoh itu juga, pihak kerajaan akan berusaha membantu mereka mencari alternatif perniagaan yang sesuai. Kita tidak mahu menindas peniaga, tetapi kita perlu utamakan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Mohd. Shukri turut menegaskan bahawa penguatkuasaan larangan ini akan dilakukan dengan penuh ketegasan.
Dalam pada itu, beliau berkata penglibatan semua agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak polis serta jabatan kesihatan akan digembleng bagi memastikan larangan ini dipatuhi sepenuhnya.
“Langkah ini mungkin dilihat drastik, tetapi ia adalah untuk jangka masa panjang. Kita mahu generasi akan datang bebas daripada tabiat merokok dan ketagihan nikotin melalui produk moden seperti vape. Kesihatan mereka adalah keutamaan kita,” tambahnya.
Langkah Perlis ini menjadikan negeri itu antara yang terawal di Malaysia menguatkuasakan larangan menyeluruh terhadap penjualan vape. Tindakan ini turut dilihat sebagai satu bentuk isyarat jelas bahawa kerajaan negeri tidak berkompromi dalam isu yang melibatkan kesihatan awam.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.