Foto: JBPM
Akibat kebakaran enjin, sebuah pesawat AirAsia yang membawa 171 orang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada hari Khamis.
Memetik laporan Astro Awani, pesawat tersebut sepatutnya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen, China.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata kebakaran yang berlaku pada enjin sebelah kanan pesawat menyebabkan penerbangan yang berlepas pada jam 9.59 malam Rabu itu terpaksa berpatah balik.
Beliau menambah bahawa pihaknya menerima panggilan mengenai insiden melibatkan pesawat jenis Airbus A320-216 itu pada pukul 10.37 malam.
Menurutnya, kerosakan yang menyebabkan kebakaran adalah berpunca daripada masalah pada 'pneumatic cutting burst'.
"Seramai sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA segera menuju ke lokasi kejadian.
Foto: JBPM
"Pesawat masih berlegar di udara sementara menunggu arahan untuk mendarat, dan akhirnya pesawat berjaya mendarat pada pukul 12.08 tengah malam.
"Api berjaya dipadamkan oleh sistem Halon dalam pesawat sebelum ia mendarat. Anggota bomba kemudian membantu mengeluarkan penumpang dan memastikan tiada lagi punca kebakaran," kata Ahmad Mukhlis.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian ini.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.