Foto : Janaan AI
Polis telah merakam keterangan seramai 60 individu bagi membantu siasatan berhubung kes kematian tragis seorang pelajar sekolah agama di Papar, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama baru-baru ini.
Antara individu yang telah dipanggil untuk memberikan keterangan termasuk tiga yang dikenali dengan panggilan ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’. Mereka dipercayai mempunyai kaitan atau mengetahui maklumat penting berkaitan kes berkenaan.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, siasatan kini berada di peringkat akhir dan memberi tumpuan kepada dua aspek utama iaitu punca sebenar kematian dan keadaan persekitaran yang mungkin menjadi faktor penyumbang kepada insiden tersebut.
“Kami tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuklah unsur buli. Justeru, siasatan melibatkan pelbagai pihak termasuk pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah yang telah dirakam percakapan mereka,” katanya kepada media.
Beliau turut memaklumkan bahawa hasil siasatan lengkap akan diserahkan kepada pihak Bukit Aman untuk tujuan analisis menyeluruh dan tindakan lanjut.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu, mangsa, Zara Qairina, yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di sekolah berkenaan, ditemui dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sekolah.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Kes ini telah mencetuskan perhatian masyarakat umum yang turut menuntut siasatan menyeluruh bagi memastikan keadilan buat mangsa dan keluarga. Orang ramai juga mendesak agar sebarang unsur salah laku termasuk buli atau pengabaian keselamatan pelajar disiasat secara telus.
Polis setakat ini masih menunggu laporan akhir hasil siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.