
Polis Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, 19 bulan, yang ditemui meninggal dunia semalam, kerana dibimbangi terdapat unsur kecuaian.
Memetik laporan Harian Metro, perkara itu diberitahu dan disahkan sendiri oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Susulan daripada itu, beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah untuk berbuat demikian.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan semalam mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau kesan jenayah, namun saya arahkan Ketua Polis Daerah untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Ini berdasarkan tular di TikTok yang mengatakan tidak logik untuk kanak-kanak berusia 19 bulan itu boleh sampai ke sungai dalam beberapa minit sahaja.
"Justeru, polis akan merakam keterangan keluarga termasuk kedua ibu bapa mangsa hari ini. Ini kerana kita bimbang ada unsur kecuaian," katanya pada sidang media hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya setakat ini tidak membuka sebarang kertas siasatan sebaliknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
Terdahulu, media semalam melaporkan, Hud Aryan dilaporkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui tersangkut pada pokok di tebing sungai di Kampung Kerila jam 4.15 petang semalam.
Penemuan mayat Hud Aryan kira-kira tiga kilometer (km) daripada lokasi kediaman neneknya dan 45 jam dari tempoh dilaporkan hilang.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.