
Mungkin di antara kita pernah mendengar bahawa di bulan puasa itu syaitan akan dibelenggu, pintu syurga dibuka selebar-lebarnya, dan pintu neraka ditutup, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Ketika masuk bulan Ramadan maka syaitan-syaitan dibelenggu, pintu-pintu syurga dibuka, dan pintu-pintu neraka ditutup.” (HR Bukhari dan Muslim).
Memang begitulah keutamaan di bulan Ramadan di mana syaitan-syaitan akan dibelenggu, pintu syurga akan dibuka dan pintu neraka akan ditutup. Tetapi itu adalah penjelasan hakikinya, namun jika difahami secara majazi, makna sebenarnya bukan bersifat demikian.
Syaitan dibelenggu di bulan Ramadan bukan bererti syaitan tidak akan menggoda manusia untuk melakukan perbuatan dosa. Buktinya ketika berpuasa pun masih banyak yang tidak solat serta puasa.
Secara majazi, syaitan dibelenggu bererti umat Muslim yang menjalankan ibadah puasa diberikan kemampuan yang lebih oleh Allah untuk tidak menuruti bisikan-bisikan syaitan. Contohnya dalam perbuatan seharian kita, apabila ketika mahu membicarakan keburukan orang lain atau melakukan perbuatan dosa yang lain di bulan puasa, pasti kita akan berfikir dua kali untuk melakukannya serta pada akhirnya kita tidak jadi melakukan perbuatan dosa berkenaan. Tapi berbeza dengan bulan-bulan biasa di mana melakukan perbuatan dosa terasa ringan dan mudah.
Bagaimana pula dengan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup?
Secara majazi, pintu syurga dibuka kerana di bulan puasa amal soleh akan dilipat gandakan pahalanya sehingga peluang untuk masuk syurga menjadi lebih besar. Manakala pintu neraka ditutup bererti di bulan puasa kesempatan kita untuk melakukan perbuatan dosa lebih kecil dibandingkan dengan bulan-bulan biasa kerana syaitan dalam keadaan dibelenggu seperti yang sudah dijelaskan di atas.
Jadi, kesempatan kita untuk mengumpulkan amal soleh di bulan puasa jauh lebih besar dibandingkan dengan perbuatan dosa yang kita lakukan. Namun keterangan tersebut hanya berlaku bagi mereka yang benar-benar menjalankan ibadah puasa, tidak hanya menahan lapar dan dahaga sahaja, tapi juga menahan hawa nafsunya dan meningkatkan ibadahnya.
Sumber dari wowmenariknya.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.