Kumpulan muzik era 1990-an, Slam menjelaskan bahawa hubungan sesama mereka dapat dikekalkan sehingga kini kerana mereka saling menghormati di antara anggota, berbincang dan tidak menyimpan apa-apa di dalam hati.
Memetik laporan Harian Metro, kumpulan tersebut masih dianggotai oleh Zamani selaku penyanyi, Shah (gitar), Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili (bass), Slam dan telah bertahan dalam industri muzik tanah air lebih dari 30 tahun.
"Alhamdulillah, dah sampai 30 tahun Slam bertahan dan kami masih lagi bersahabat baik. Syukur sebab kami masih 'bersatu' dan rezeki 'show' pun sentiasa ada.
"Cuma, biasalah dalam berkumpulan memang tak dinafikan 'bergaduh manja' dan berselisih faham itu ada berlaku sebab setiap orang pasti ada pendapat serta ragam masing-masing.
"Tapi, kami semua dalam Slam ini selesa amalkan sikap saling menghormati sesama anggota. Kalau ada pun masalah berlaku, kami akan selesaikan segera, duduk berbincang dan tak ada cakap belakang," kata Shah mewakili kumpulan mereka.
Foto: Harian Metro
Dalam pada itu, Shah mendedahkan bahawa mereka lebih memilih untuk menyelesaikan apa yang berlaku dalam kumpulan secara matang dan segera kerana tindakan itu lebih baik daripada berdiam serta simpan dalam hati.
Demi memastikan kumpulan itu kekal relevan pada kalangan peminat, Slam bercadang adalah wajar untuk mereka hadir pertaruhkan karya lagu baharu.
"Slam kini dalam perancangan merakamkan beberapa lagu baharu. Cuma, lagu yang sesuai itu masih dicari di mana ia tetap kena ada 'sentuhan' atau DNA Slam. Kami tidak boleh berubah drastik.
"Apa genre lagu yang peminat suka mengenai Slam, kami perlu kekalkannya kerana identiti itu yang buat Slam dapat bertahan. Sokongan peminat sangat penting,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, pada tahun ini Slam turut berhasrat supaya dapat merakamkan semula lagu lama Slam yang bakal diberi nafas baharu.
Menurutnya, Ini kerana Slam mempunyai banyak lagu-lagu popular yang kini berusia 20 ke 30 tahun dan perlu disesuaikan mengikut peredaran kini.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.