
Foto: Instagram
Fenomena rakyat Malaysia memesan makanan melalui aplikasi Grab dan menghantarnya ke Indonesia sebagai tanda solidariti terus menjadi bualan hangat di media sosial. Ada yang memuji inisiatif itu sebagai kreatif dan penuh kasih sayang, namun tidak kurang juga yang mengkritik, menyifatkannya sebagai membazir dan tidak kena tempat.
Pelakon popular, Rashidi Ishak, tampil memberikan pandangannya melalui akaun Threads peribadi. Dalam kenyataan ringkas tapi cukup mendalam, beliau menegur segelintir netizen yang terlalu cepat ‘triggered’ dengan tindakan tersebut.
“Kenapa yang awak triggered sangat dengan orang nak yang order makanan Grab hantar kat Indonesia tu? Awak mesti jenis yang bila orang datang kat meja awak nak jual tisu awak tak pandang dia pun kan? Belajarlah jadi lebih mengasihi,” tulisnya.
Kenyataan itu menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial. Ramai yang bersetuju dengan Rashidi, menyifatkan mesejnya sebagai peringatan bahawa empati tidak seharusnya terbatas pada sempadan negara.
Ada juga yang menganggap tindakan menghantar makanan walaupun kecil nilainya tetap memberi makna besar kepada penerima di Indonesia, terutamanya ketika mereka berdepan kesulitan.
Solidariti Merentas Sempadan
Trend ini tercetus apabila segelintir rakyat Malaysia menggunakan aplikasi Grab untuk memesan makanan di bandar-bandar tertentu di Indonesia, kemudian menyerahkannya kepada pemandu atau penerima tempatan. Ia dianggap sebagai cara kreatif menyalurkan sokongan moral, selain mengeratkan hubungan serumpun.
Beberapa video ucapan terima kasih daripada rakyat Indonesia juga tular, memperlihatkan betapa mereka menghargai sokongan daripada Malaysia.
Empati Sebagai Pesanan
Dengan kenyataannya itu, Rashidi menekankan bahawa perbuatan berkasih sayang tidak seharusnya dipandang sinis. Walaupun sesetengah pihak lebih cenderung untuk membantu komuniti dalam negara terlebih dahulu, Rashidi menegaskan bahawa tiada salahnya meluaskan rasa empati kepada jiran serumpun.
Sumber: Threads
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.