Foto sekadar hiasan
Sarawak mencatatkan kes pertama jangkitan rabies dalam kalangan manusia bagi tahun 2025 apabila seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari Kampung Segedup, Kuching, dijangkiti virus tersebut selepas digigit seekor kucing liar.
Menurut Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, remaja tersebut mula menunjukkan gejala seperti demam, hilang selera makan, muntah, halusinasi, meracau, sukar berjalan dan sukar minum air pada 21 Mei lalu.
"Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengesahkan kanak-kanak itu mempunyai simptom rabies antaranya demam, hilang selera makan, halusinasi dan takut untuk minum air," kata Dr Rundi.
Beliau menambah bahawa biasanya apabila gejala telah mencapai tahap ini, peluang untuk pulih adalah tipis. Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa telah menangkap anjing-anjing liar di sekitar kawasan kejadian, dan kucing liar yang menggigit mangsa telah disahkan mati.
Dalam sidang media sempena Persidangan Rabies di Borneo 2025 yang diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri pada 26 Mei, Dr Rundi menjelaskan bahawa usaha sedang ditingkatkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk mengawal populasi kucing dan anjing liar di kawasan sekitar secepat mungkin.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap ancaman jangkitan rabies dan segera mendapatkan rawatan di hospital sekiranya diserang haiwan, sebelum virus tersebut menyerang otak dan sistem saraf.
"Tahun ini kita ada ambil 21 sampel kucing, dengan dua daripadanya disahkan positif rabies. Kebanyakan kes jangkitan yang digigit haiwan rabies dan mereka pergi segera ke hospital untuk rawatan suntikan, mereka boleh pulih.
Namun, kalau mangsa lambat ke hospital dan virus sudah sampai otak, itu memang tidak dapat dipulihkan dan ia amat menyakitkan... itu yang kita nak elakkan," ujar Dr Rundi.
Statistik menunjukkan bahawa sejak tahun 2017 hingga minggu epidemiologi ke-20 tahun 2025 (11 hingga 17 Mei 2025), terdapat sebanyak 63,301 kes gigitan anjing, 57,210 kes gigitan atau cakaran kucing, dan 1,832 kes gigitan haiwan lain yang dilaporkan di Sarawak.
Kes ini menjadi peringatan kepada masyarakat tentang pentingnya mengambil langkah berjaga-jaga apabila berinteraksi dengan haiwan liar dan memastikan haiwan peliharaan mendapatkan vaksinasi anti-rabies bagi mencegah penularan penyakit yang boleh membawa maut ini.
Sumber: Astro AWANI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.