Foto: Instagram
Pelakon berpengalaman, Datuk Remy Ishak menegur sikap segelintir pelakon generasi baharu yang disifatkannya kurang serius dalam bidang lakonan dan hanya mengejar populariti semata-mata.
Menurut Remy atau nama sebenarnya Muhammad Zalimei Ishak, 43, situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap perkembangan industri perfileman tanah air yang memerlukan komitmen penuh daripada setiap tenaga lakonan.
“Susah nak jumpa yang betul-betul serius sekarang. Maaf saya cakap, kalau ada yang terasa, silakan. Ramai pelakon yang saya jumpa tidak bersedia untuk benar-benar terlibat secara serius dalam lakonan.
“Kita mahu bawa industri filem ke tahap lebih baik, jadi semua orang perlu beri yang terbaik. Kalau sekadar mahu popular, gunakan media sosial sahaja. Dunia lakonan perlukan kesungguhan dan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman barisan pelakon dan produksi filem Khadam, semalam.
Remy menegaskan, meskipun bukan graduan sekolah filem, setiap pelakon wajar mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kerjaya mereka.
“Saya sendiri bukan lepasan sekolah filem, tetapi bila bekerja, kita kena serius. Sukar sekarang nak jumpa pelakon sehebat Maya Karin, Erma Fatima, Umie Aida, Liyana Jasmay atau Sharifah Sakinah.
“Mereka antara pelakon yang benar-benar memahami nilai seni dan menghargai filem,” jelasnya.
Dalam masa sama, Remy turut memuji komitmen pelakon Indonesia, Aghniny Haque yang akan bergandingan dengannya dalam filem Khadam.
“Ketika sesi pembacaan skrip baru-baru ini, dia sudah memberikan sepenuh jiwa. Itu baru bacaan skrip tetapi energinya begitu kuat. Bila dia melontarkan karakter, kita boleh rasa kehadirannya,” katanya.
Filem seram Khadam merupakan kerjasama Red Communications dan Komet Productions, menggabungkan kisah mistik Nusantara arahan Shamyl Othman dengan skrip tulisan Fariza Azlina Ishak.
Selain Remy dan Aghniny, karya ini turut dibintangi oleh Siti Khadijah Halim, Jun Lojong, Zarra Zhaff dan Karl El.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.