Foto: Tangkapan skrin layar Instagram
Sebuah insiden cemas melibatkan pesawat Batik Air dengan kod pendaftaran PK-LDJ hampir tergelincir ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta (Soetta), Tangerang, Banten, pada hari Sabtu, 28 Jun 2025.
Apa yang lebih mengejutkan, hasil semakan oleh warganet mendapati bahawa antara penumpang dalam pesawat tersebut ialah seorang pempengaruh media sosial dari Malaysia.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik oleh Keyna Azami, dia memberitahu bahawa dirinya merupakan salah seorang warganegara Malaysia yang berada dalam penerbangan Batik Air pada ketika itu dan sejujurnya dirinya tidak menyangka bahawa dirinya masih hidup serta dipanjangkan usia.
“Keadaan dalam flight pada awalnya okey sahaja, tiada sebarang masalah yang berlaku. Namun, ketika hendak melakukan pendaratan, keadaan kapal terbang sudah turbulence teruk dah.
“Dekat nak sampai dekat 20 minit lagi, kami menjerit kerana pesawat bagaikan hendak menjunam dalam beberapa saat ketika masih berada di udara. Sewaktu pilot hendak melakukan landing, pesawat kami bergegar dan apabila roda tayar menyentuh permukaan jalan, memang kami rasakan yang pesawat tergelincir,” ujarnya menerusi video.
Dalam pada itu, Keyna turut menjelaskan bahawa dia bersyukur kerana masih diberi kesempatan dan tidak menafikan bahawa insiden yang terjadi beberapa hari yang lalu turut meninggalkan ‘parut’ yang sukar untuk dilupakan.
Kehadiran pempengaruh ini secara tidak langsung menambahkan perhatian terhadap insiden ini kerana perkongsian secara langsung pengalaman beliau menarik perhatian ramai pengikut di dalam dan luar negara.
Bagaimanapun, detik-detik mencemaskan itu turut dirakam dalam sebuah video yang kini tular di media sosial. Menerusi rakaman tersebut, pesawat berkenaan dilihat mendarat dalam keadaan hujan lebat, dengan posisi badan pesawat yang sedikit miring ketika menghampiri landasan.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan PT Batik Air Indonesia, pendaratan tersebut berlaku ketika cuaca tidak menentu, termasuk hujan lebat serta peningkatan kelajuan angin dari arah sisi pesawat.
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan pihak berkuasa penerbangan Indonesia dijangka menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan keselamatan operasi penerbangan terus terjamin.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.