
Foto: Instagram SINAR
Sarah Kamilla kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada keluarga stesen radio popular, Sinar, apabila diumumkan sebagai penyampai baharu bagi segmen tengah hari, RSVP Sinar.
Segmen itu bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 1 hingga 4 petang dan menyasarkan pendengar yang menginginkan hiburan ringan serta interaktif dalam suasana santai selepas waktu makan tengah hari.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sinar, penyertaan Sarah bermula secara kebetulan apabila beliau pada awalnya memohon untuk jawatan sebagai penerbit.
Namun, setelah pihak pengurusan menyedari latar belakangnya sebagai bekas penyampai radio dan melihat potensinya yang besar dalam penyiaran, mereka menawarkan peluang untuknya kembali ke konti sebagai penyampai sepenuh masa.
Pengurus Jenama Sinar, Zureen Affendi menyifatkan Sarah sebagai individu yang membawa warna baharu dalam barisan penyampai mereka.
“Dia tenang, feminin dan bijak mengendalikan emosi serta komunikasi. Ini sangat sesuai dengan konsep RSVP Sinar yang lebih interaktif, lembut dan bersahaja,” katanya.
Sarah, yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi, dilihat berpotensi menyumbang sesuatu yang segar dan berbeza, walaupun Sinar telah sedia menampilkan dua penyampai wanita berpengalaman iaitu Dina Nadzir dan Sharifah Shahirah.
Pendekatan Sarah lebih bersifat santai dan moden, sesuai untuk menarik golongan pendengar muda yang inginkan kelainan daripada segmen siaran tengah hari biasa.
Dalam segmen RSVP Sinar, Sarah menggalas tanggungjawab menyampaikan pelbagai kandungan menarik, termasuk berinteraksi secara langsung dengan pendengar, berkongsi kisah seharian, serta mengetengahkan topik ringan yang dekat dengan kehidupan harian masyarakat.
Antara elemen yang diketengahkan termasuk sembang santai, pilihan lagu nostalgia, dan perkongsian tip atau lokasi makan menarik yang menjadi kegemaran ramai.
Pihak Sinar yakin kehadiran Sarah bukan sahaja akan memperkukuh kekuatan jenama mereka, tetapi juga memberikan nafas baharu kepada siaran tengah hari yang sebelum ini lebih bersifat formal.
Dengan keperibadian yang mesra dan gaya penyampaian yang lembut serta beremosi, Sarah dilihat mampu menjadi wajah dan suara segar untuk Sinar dalam mengekalkan relevansi mereka di hati pendengar Malaysia.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.