
Foto: Kosmo
Ibu salah seorang mangsa kemalangan maut di Persiaran Senawang 1 di Seremban Khamis lalu tidak akan sesekali menerima maaf pelaku dan keluarganya selain menegaskan hutang nyawa mesti dibalas dengan nyawa.
Memetik laporan Kosmo, Rohani Ab. Ghani, 46, memberitahu, dia hampir gila mengenangkan kejadian itu apatah lagi arwah anak bongsunya, Muhammad Aswari Lotpi, 16, tidak pernah menyusahkannya.
Dalam pada itu, Rohani menegaskan dia tidak akan maafkan pelaku yang menyebabkan anaknya mati dan menyifatkan bahawa Muhammad Aswari dibunuh.
“Saya tak boleh terima (permohonan maaf keluarga), itu anak saya. Pedihnya hati,” ujarnya ketika ditemui.
Terdahulu, dalam kejadian 8.30 malam Khamis lalu, dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang berusia 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.
Bagaimanapun, kenderaan dipandu gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Kemalangan itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berusia 15 dan 16 tahun cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mereka yang meninggal dunia ialah Muhammad Aidil Ramdan, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.