Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan negeri Selangor memberi pengecualian bayaran sewa untuk bulan April bagi penyewa di empat Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menurut Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri Haniza Mohamed Talha berkata, penghuni PPR berkenaan dibenarkan oleh kerajaan Selangor untuk menangguhkan pembayaran sewa bagi bulan Mei dan Jun ini.
"PPR yang terlibat adalah PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi, yang terdiri daripada keluarga golongan B40.
"Kerajaan negeri berharap perkara yang diputuskan ini, dapat mengurangkan beban ditanggung oleh semua penyewa," katanya.
Menurut beliau, pengecualian sewa PPR pada bulan April ini melibatkan tanggunggan kos sebanyak RM562,358 sementara penangguhan bayaran sewa bagi Mei dan Jun berjumlah RM1,124,716.
Keputusan itu diambil berdasarkan aduan yang diterima, terdapat penyewa tidak mampu membayar sewa bulanan atas beberapa sebab, antaranya tidak dapat keluar berniaga dan hilang mata pencarian, menurut kata beliau.
Beliau juga menyeru agar semua rakyat mematuhi arahan PKP yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Untuk perkembangan terkini tentang COVID-19, anda boleh klik di sini.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.