Penemuan rangka manusia di dalam kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau di tepi jalan Yong Peng-Muar akhirnya menemui jawapan kehilangan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja yang dilaporkan sejak 26 Mei lalu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, pihaknya memaklumkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia Malaysia Negeri Johor mengesahkan bahawa melalui analisa profile DNA yang diperolehi sepadan 99.9 peratus dengan spesimen darah ibu bapa mangsa.
“Identiti rangka manusia tersebut adalah Hafiz Fauzan Abdul Halid, lelaki Melayu, berumur 16 tahun yang juga pelajar Tingkatan 5 dan beralamat di Bandar Putera Indah, Batu Pahat serta merupakan mangsa orang hilang yang dilaporkan telah keluar rumah sejak 26 Mei lalu.
“Polis mengesahkan menerima profil DNA tersebut dan ia berpadanan dengan spesimen darah kedua ibu bapa Hafiz Fauzan iaitu Abd Halid Sugiman,44, dan isterinya Zuraidah Zainuddin, 45.
“Berikutan itu, kes kehilangan anak ke tiga daripada tujuh adik-beradik itu dianggap selesai namun siasatan menjurus kepada kemungkinan melibatkan jenayah masih dilakukan,” katanya.
Sumber: Kosmo Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.