Foto: Tangkap layar TikTok
Beristirahat di rumah selepas penat bekerja sepanjang minggu mungkin menjadi pilihan ramai, terutamanya bagi mereka yang ingin menjauhkan diri daripada kesibukan luar dan berasa tidak mempunyai tenaga untuk bersosial. Namun, menurut Pakar Kesihatan Mental, Amirul Ramli, pendekatan tersebut mungkin bukanlah penyelesaian terbaik dari sudut kesihatan mental.
Menurut beliau, penglibatan aktif dalam aktiviti sosial secara bersemuka sebenarnya dapat memberi kesan positif yang besar kepada kesejahteraan emosi seseorang. Beliau yang juga Pengasas Mental Kuat Centre, menjelaskan bahawa individu yang kerap menyertai acara seperti pameran, festival, karnival atau sebarang program masyarakat akan pulang dengan perasaan lebih tenang, puas dan gembira.
“Yang penting ramai orang, suasana meriah, anda jalan-jalan, tengok pameran, borak sikit dengan orang, makan dekat gerai dan balik dengan rasa puas hati. Rupa-rupanya, perasaan itu bukan ilusi. Ada sains di sebaliknya,” kata beliau dalam satu hantaran di TikTok.
Kajian Buktikan Manfaat Aktiviti Sosial Kepada Kesihatan Mental
Mengulas lebih lanjut, Amirul merujuk kepada satu kajian terkini oleh University of South Australia yang menunjukkan bahawa penglibatan dalam program sosial secara fizikal mampu meningkatkan dua komponen penting dalam kesejahteraan manusia, iaitu emosi positif dan keterlibatan diri (engagement).
Emosi positif seperti perasaan tenang, gembira dan teruja berperanan dalam merangsang hormon-hormon penting seperti dopamin dan serotonin. Dalam masa yang sama, ia membantu menurunkan kadar hormon stres kortisol, sekali gus mengimbangi kesihatan mental secara keseluruhan.
“Emosi yang stabil bukan sahaja menyumbang kepada ketenangan fikiran, malah memberi kesan langsung kepada kesihatan fizikal dan keupayaan seseorang mengurus tekanan harian,” jelas beliau.
@amirul.ramli Pernah tak anda rasa tiba-tiba emosi jadi tenang lepas balik dari satu event? Tak kisahlah event tu konsert, expo, karnival atau pelancaran apa-apa. Yang penting ramai orang, suasana meriah, anda jalan-jalan, tengok pameran, borak sikit dengan orang, makan dekat gerai dan balik dengan rasa puas hati. Rupa-rupanya, perasaan tu bukan ilusi. Ada sains di sebaliknya. Satu kajian terbaru telah membuktikan bahawa aktiviti sosial secara langsung seperti menghadiri festival, acara komuniti dan pameran secara fizikal mampu meningkatkan dua komponen penting dalam kesejahteraan manusia iaitu emosi positif dan keterlibatan diri atau engagement. Dua benda ni sangat penting kalau anda nak hidup yang lebih tenang dan stabil dari segi mental. Kenapa emosi positif ni penting? Sebab bila anda rasa gembira, tenang, excited atau seronok, tubuh anda akan hasilkan hormon seperti dopamine dan serotonin. Ia bantu turunkan tahap kortisol iaitu hormon stres. Kajian juga tunjuk bila kita hadir event secara langsung, otak kita kurang aktif dalam Default Mode Network. Ini kawasan otak yang biasa aktif waktu kita tengah termenung, overthinking, fikir benda lepas, atau risau tentang masa depan. Jadi bila kita engage secara aktif dengan aktiviti sekeliling, kita kurang fikir benda-benda negatif. Engagement pula merujuk kepada situasi bila kita betul-betul fokus dan terlibat dalam apa yang kita buat sampai tak sedar masa berlalu. Anda pernah pergi event dan tak sedar dah 3 jam berlalu? Itu tandanya anda dalam keadaan flow, dan ini sangat baik untuk kesihatan otak. Flow boleh bantu rehatkan sistem saraf, kawal emosi dan beri ruang kepada otak untuk pulih dari tekanan harian. Sebaliknya, kajian ni juga tunjuk bila orang hanya hadiri event secara online, kesannya tak sama. Mereka hanya dapat sedikit rasa pencapaian, tapi tidak banyak peningkatan dalam emosi positif atau engagement. Maksudnya, walaupun webinar, live stream dan kelas online itu bermanfaat, tapi dari sudut kesihatan mental dan kesejahteraan emosi, ia tidak mampu menggantikan pengalaman secara fizikal. Jadi rajinkan diri anda keluar rumah, sertai program komuniti, karnival, atau apa sahaja event yang beri anda pengalaman secara langsung. Tak perlu tunggu kawan. Kadang-kadang pergi seorang pun boleh jadi terapi. Anda beri peluang kepada diri anda untuk rasa hidup ini lebih bermakna, lebih bertenaga dan lebih stabil dari segi emosi. Kalau anda seorang pelajar, join event kampus. Kalau anda dah bekerja, hadir program komuniti atau anjurkan aktiviti sosial dengan rakan sekerja. Kalau anda seorang ibu bapa, bawa anak ke pameran, taman permainan atau program seni. Semuanya ada kesan positif yang kuat terhadap kesejahteraan mental, bukan saja untuk anda tapi juga untuk anak-anak. Ia boleh jadi sekadar satu acara kecil yang anda hadir. Yang penting, anda hadir secara fizikal dan benar-benar hidup dalam suasana itu. #mentalhealth ♬ original sound - AmirulRamli | MentalHealth
Kurangkan Overthinking, Tingkatkan Fokus
Salah satu dapatan menarik daripada kajian tersebut ialah pengurangan aktiviti Default Mode Network dalam otak semasa seseorang terlibat dalam suasana sosial. Ini bermakna, ketika berada dalam suasana meriah dan sibuk, otak tidak mempunyai ruang untuk berfikir secara berlebihan (overthinking), yang sering dikaitkan dengan kemurungan dan kebimbangan.
“Otak anda sibuk fokus kepada apa yang berlaku – bunyi, visual, orang sekeliling. Deria anda bekerja dan ini bantu tenangkan sistem saraf,” katanya.
Amirul turut menyebut tentang konsep 'flow', iaitu satu keadaan apabila seseorang terlalu fokus dalam sesuatu aktiviti hingga tidak menyedari masa berlalu. Keadaan ini, katanya, baik untuk otak kerana ia membantu merehatkan sistem saraf, menstabilkan emosi dan memberi ruang kepada otak untuk memulih dari tekanan yang dihadapi sepanjang minggu.
Program Dalam Talian Tidak Setanding Pengalaman Fizikal
Dalam dunia yang semakin digital, ramai yang cenderung memilih program secara atas talian seperti webinar atau siaran langsung kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa. Namun menurut Amirul, walaupun bermanfaat, impaknya terhadap kesihatan mental tidak setara dengan penglibatan secara fizikal.
“Program dalam talian mungkin memberi sedikit rasa pencapaian, tetapi dari segi emosi positif dan engagement, ia tidak mampu menggantikan pengalaman fizikal. Pengalaman sebenar bersama komuniti memberi kesan yang lebih mendalam terhadap kestabilan emosi,” ujarnya.
Aktiviti Sosial Mengikut Peringkat Umur
Sebagai panduan, Amirul turut menyenaraikan contoh aktiviti sosial yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat:
- Pelajar: Sertai malam kebudayaan, kelab pelajar, program sukarelawan, kem motivasi dan festival kampus.
- Ibu bapa dan anak-anak kecil: Kunjungi taman permainan, bengkel seni, program komuniti, karnival dan pameran kanak-kanak.
- Warga emas: Bengkel kraftangan, pertandingan mewarna batik, ceramah kesihatan, program komuniti dan aktiviti santai bersama rakan sebaya.
Justeru itu, masyarakat disaran untuk melibatkan diri dalam aktiviti sosial secara lebih aktif, walaupun hanya pada hujung minggu. Kehadiran fizikal dalam program-program seperti pameran, festival atau acara komuniti bukan sahaja memperkaya pengalaman hidup, tetapi turut memberi impak positif terhadap kesihatan mental dan kestabilan emosi.
Amirul mengingatkan bahawa dalam kehidupan moden yang serba sibuk, menjaga kesihatan mental adalah sama penting dengan menjaga kesihatan fizikal, dan salah satu langkah paling mudah ialah dengan keluar dari rumah dan menikmati suasana sosial bersama masyarakat.
“Rajinkan diri anda keluar rumah. Sertai program, bersosial dan aktifkan semula emosi anda. Ia langkah mudah, tetapi impaknya sangat besar untuk kesihatan mental kita semua,” katanya mengakhiri perkongsian.
Sumber: TikTok
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.