Foto: Stadium Astro
Bintang berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila berjaya meletakkan dirinya dalam kalangan tiga pelumba pecut terbaik dunia. Dalam kemas kini terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Shah Firdaus kini menghuni kedudukan ketiga dunia dalam acara pecut lelaki.
Beliau berjaya mengumpul sejumlah 5,174 mata, sekaligus melonjakkan dirinya ke tahap tertinggi dalam kerjayanya setakat ini. Di hadapan beliau ialah pelumba dari Colombia, Cristian David Ortega Fontalvo yang berada di tempat kedua dengan 5,378 mata. Manakala di tangga teratas ialah juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen yang gah mengungguli carta dengan 6,700 mata.
Kejayaan ini adalah hasil daripada prestasi konsisten Shah Firdaus di peringkat antarabangsa, termasuk pencapaian gemilangnya di kejohanan UCI Nations Cup yang berlangsung di Konya, Turkiye pada bulan Mac yang lalu. Dalam acara keirin, beliau berjaya mencipta kejutan dengan meraih pingat emas selepas menewaskan pencabar utama seperti pelumba Perancis, Sebastien Vigier yang meraih perak, dan pelumba Jepun, Shinji Nakano yang membawa pulang gangsa.
Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan kemampuan Shah Firdaus sebagai pelumba bertaraf dunia, malah menunjukkan bahawa Malaysia kini mampu bersaing secara serius dalam sukan berbasikal trek di peringkat global.
Foto: TMS
Lebih membanggakan, Shah Firdaus bukan satu-satunya wakil Asia dalam kelompok elit ini. Shinji Nakano dari Jepun juga turut tersenarai dalam kelompok 10 terbaik dunia, kini berada di tangga ketujuh dengan kutipan mata sebanyak 4,610.
Menambah kepada kebanggaan negara, adik kepada Shah Firdaus, iaitu Ridwan Sahrom, turut menunjukkan potensi besar dalam arena sukan ini. Beliau kini berada di kedudukan ke-33 dunia dalam acara pecut lelaki dengan kutipan mata sebanyak 1,846, satu pencapaian yang sangat membanggakan bagi pelumba muda.
Dengan Sukan Olimpik Paris 2024 semakin hampir, prestasi Shah Firdaus ini memberi harapan baharu kepada Malaysia untuk melihat wakil negara berada di podium dalam acara berprestij itu. Para peminat sukan tanah air pastinya akan terus memberikan sokongan penuh kepada beliau dan rakan sepasukan dalam misi membawa pulang kejayaan buat negara.
Sumber: Makan Bola
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.