
Foto: Instagram
Setelah sekian lama dinantikan, akhirnya Sheila On 7 (SO7) kembali menggegarkan pentas Malaysia! Kali ini bukan calang-calang kerana band legenda Indonesia ini bakal menjadi tumpuan utama di Festival Latihan Pestapora yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Julai 2025.
Berita ini bukan sahaja mencetus keterujaan dalam kalangan peminat muzik tanah air, malah ia menjadi simbolik kepada kebangkitan festival muzik berskala mega di Malaysia. SO7, dengan lagu-lagu ikonik seperti Dan, Sephia, Melompat Lebih Tinggi dan Anugerah Terindah, bukan sekadar band, namun mereka merupakan helaian memori yang tersemat di hati generasi 90-an dan awal 2000-an.
“SO7 bukan sekadar kumpulan muzik. Mereka adalah sebahagian kenangan dengan lagu-lagu mereka yang menjadi ‘anthem’ satu generasi,” ujar Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group.
Beliau turut menyifatkan kemunculan semula SO7 di Malaysia sebagai detik bersejarah, lebih-lebih lagi dengan pemilihan Stadium Nasional yang merupakan simbol kepada konsert mega dan perhimpunan rakyat yang dipilih sebagai lokasi penganjuran.
Penganjuran Pestapora, yang berasal dari Indonesia, kali ini dibawa merentasi sempadan sebagai bukti keutuhan hubungan budaya dan muzik antara dua negara. Menurut Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, pesta ini bukan sekadar persembahan seni, tetapi satu perayaan komuniti dan jiwa kolektif.
“Kami berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara dalam satu malam yang penuh jiwa, muzik dan kenangan,” kata Kiki.
Festival ini akan menjadi lebih epik dengan kemunculan nama-nama besar yang diumumkan dalam Fasa 2, antaranya Sheila On 7, Nadin Amizah dan ALVN.Ini melengkapkan senarai hebat yang diumumkan dalam Fasa 1 seperti Hindia, Pamungkas, Bittersweet, Dolla dan ramai lagi yang bakal menyalakan pentas dengan tenaga luar biasa!

Foto: Instagram
Pemilihan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi utama jelas menunjukkan skala luar biasa festival ini. Ia bukan sekadar memberi ruang lebih luas kepada peminat, tetapi juga menyuntik aura gah dan berprestij kepada acara ini. Bukan mudah untuk melihat sebuah festival muzik berpindah ke lokasi ikonik ini dan Latihan Pestapora 2025 bakal mencatat sejarah tersendiri.
Dengan sambutan hangat sejak pengumuman awal, tiket dijangka akan habis dalam masa singkat. Ini bukan sekadar festival, ini adalah peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah muzik di Malaysia. Kemunculan semula SO7 adalah detik yang ramai impikan, dan 26 Julai akan menjadi malam yang sukar dilupakan.
Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk melompat lebih tinggi bersama Sheila On 7 dan ribuan peminat lain? Pastikan anda tidak ketinggalan!
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.