Foto: Kosmo
Penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah akhirnya tampil membuat pendedahan terbuka bahawa individu yang terlibat dalam insiden menyerangnya semasa sesi latihan konsert tempoh hari ialah penyanyi legenda rock negara, Datuk Amy Search.
Kenyataan itu sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi dan teka-teki dalam kalangan netizen yang sebelum ini cuba meneka identiti sebenar individu yang terlibat, termasuklah menyebut nama-nama besar seperti Datuk Awie dan penyanyi Ella.
Shila, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah yang kini berusia 35 tahun, mengakui beliau berasa bersalah kerana kontroversi yang tercetus ini turut menjejaskan nama baik beberapa artis lain yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan insiden tersebut.
“Apa yang boleh saya tegaskan, bukan kak Ella dan bukan juga Datuk Awie. Mereka tidak ada kena-mengena dengan insiden ini. Jadi saya mohon hentikanlah menyebut nama-nama mereka.
“Sebenarnya individu terbabit ialah bapa kepada Nabila Huda, iaitu Datuk Amy Search,” katanya ketika ditemui selepas konsert minggu keempat Raise The Star Malaysia, semalam.
Menceritakan semula kejadian yang memberi kesan besar terhadap kesihatan mentalnya, Shila menyatakan bahawa insiden tersebut berlaku di hadapan hampir 40 orang saksi ketika sesi latihan dijalankan.
“Sehingga hari ini, saya masih belum dapat melupakan insiden tersebut. Ia memberi kesan besar kepada saya dari segi emosi dan mental. Sepatutnya perkara seperti ini tidak berlaku dalam industri seni kita, lebih-lebih lagi dalam suasana profesional.
"Beliau adalah figura yang sangat dihormati dan telah menjadi inspirasi kepada ramai artis serta peminat muzik. Maka bila perkara sebegini berlaku, ia sangat memberi impak mendalam kepada saya secara peribadi,” jelasnya lagi.
Shila turut menjelaskan bahawa keputusan beliau untuk membuat laporan polis bukan semata-mata untuk melindungi dirinya, tetapi juga bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga agar insiden tersebut tidak berulang dan supaya tindakan luar kawalan dapat dielakkan.
“Saya membuat laporan polis bukan sebab saya mahu memburukkan sesiapa. Saya cuma mahu pastikan keselamatan saya tidak terancam, dan supaya beliau tidak bertindak melampaui batas pada masa akan datang,” tambahnya.
Apabila ditanya sama ada beliau bersedia untuk menarik semula laporan polis atau mengambil pendekatan untuk berdamai, Shila berkata perkara itu bergantung kepada sikap dan perubahan yang ditunjukkan oleh pihak Datuk Amy sendiri.
“Terus terang, saya berada dalam keadaan yang cukup sukar sekarang. Bukan kerana saya ego atau tidak mahu berdamai. Tetapi saya perlukan masa untuk menilai dan melihat jika ada perubahan dari segi sikap beliau. Jika ada perubahan positif, insya-Allah, tiada siapa yang tidak akan berlembut hati,” katanya dengan nada tenang.
Tambahnya lagi, buat masa ini beliau belum bersedia untuk bertemu empat mata dengan Datuk Amy bagi menyelesaikan isu berkenaan kerana masih trauma dengan insiden yang berlaku.
“Insiden ini telah memberi kesan yang sangat besar kepada saya secara dalaman. Jadi saya perlukan masa untuk pulih dan menenangkan diri sebelum fikirkan langkah seterusnya,” katanya lagi.
Terdahulu, pada hari Khamis lalu, Shila mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan bahawa beliau telah diserang oleh seorang penyanyi legenda ketika sesi latihan untuk Konsert Ulang Tahun Ke-20 Mr D.I.Y yang berlangsung di Stadium Merdeka. Pendedahan tersebut mencetuskan reaksi hangat dalam kalangan peminat dan penggiat industri seni.
Susulan pendedahan tersebut, Shila telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa mengesahkan telah menerima laporan serta siasatan sedang dijalankan untuk menyiasat insiden itu secara terperinci.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.