Foto: Astro Awani
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sekali lagi mencipta sejarah apabila mengumumkan bakal mengadakan konsert solo berskala mega di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Januari 2026.
Konsert yang dianjurkan syarikat pengurusannya, Siti Nurhaliza Legacy itu diadakan sempena meraikan tiga dekad perjalanan seni beliau dalam industri muzik. Ia dijangka menghimpunkan puluhan ribu peminat yang selama ini menjadi tonggak utama kariernya.
Lebih istimewa, konsert tersebut berlangsung sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-47, menjadikannya sebuah sambutan peribadi dan profesional yang cukup bermakna.
Bagi memastikan penganjuran setanding dengan lokasi bertaraf antarabangsa, Siti dan pasukannya merancang penampilan pentas yang gah dengan teknologi produksi terkini. Dengan deretan lagu hits sepanjang 30 tahun, konsert ini dijangka menarik sekurang-kurangnya 60,000 peminat.
Sejak beberapa hari lalu, penyanyi tersohor itu bersama pengurusannya memberi bayangan mengenai konsert ini di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat setia.
Tiket dijangka mula dijual dalam masa terdekat, dengan ramalan sambutan luar biasa berdasarkan rekod persembahan besar beliau sebelum ini yang sentiasa mencatat kehadiran puluhan ribu penonton.
Sumber: Instagram
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.