
Foto: Astro Awani
Seniwati dan pelakon veteran, Sophia Ibrahim, telah meninggal dunia pada usia 77 tahun pada 5 Mei 2025, sekitar jam 7 malam di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur.
Memetik laporan Awani, berita pemergian beliau disahkan oleh bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Tumiran Mohd Kasdi.
Menurut Tumiran, pada petang tersebut, Allahyarham menghadiri satu perjumpaan di sebuah hotel di Ampang sebelum mengadu sesak nafas dan dikejarkan ke hospital.
Dalam pada itu, jenazah beliau dijangka dibawa ke kediaman anak saudaranya di Taman Samudra, Batu Caves, dan akan disembahyangkan di Surau Al-Hijrah, Taman Bolton sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah.
Sophia Ibrahim dikenali sebagai pelakon yang prihatin terhadap kebajikan rakan-rakan seindustri. Beliau memulakan kerjaya lakonan pada usia 15 tahun menerusi filem "Ragam P. Ramlee" (1964) dan terus menyerlah dalam filem-filem seperti "Dr. Rushdi", "Cinta 200 Ela", "Pontianak Harum Sundal Malam", dan "Puteri Impian". Beliau juga pernah membintangi beberapa filem bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Allahyarham adalah kakak kepada penyanyi terkenal era 1980-an, Datuk Khadijah Ibrahim, dan adik kepada penyanyi serta pelakon 1970-an, Latif Ibrahim, yang meninggal dunia pada tahun 2012.
Pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghulurkan sumbangan kepada Sophia bagi meringankan kos perubatan selepas beliau mengalami masalah katarak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan beliau sebagai bintang seni unggul yang banyak menyumbang kepada dunia perfileman tempatan sejak era 1960-an.
Sumber: Astro Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.