Foto: Facebook
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal memperkenalkan subjek baharu iaitu Pendidikan Karakter mulai tahun hadapan, sebagai usaha memperkukuh pembentukan sahsiah dan keperibadian murid sejak di bangku sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata subjek itu akan diperkenalkan terlebih dahulu di peringkat prasekolah sebelum diperluas ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh pelaksanaan seterusnya.
Beliau menjelaskan, kurikulum baharu yang dinamakan Kurikulum Persekolahan 2027 memberi penekanan besar terhadap nilai moral, akhlak, dan jati diri pelajar, menjadikan Pendidikan Karakter sebagai komponen utama sistem pembelajaran negara.
“Kurikulum baharu 2027 ini akan memperkenalkan mata pelajaran penting yang menjadi asas kepada semua, iaitu Pendidikan Karakter. Ia akan menjadi teras utama dalam pelaksanaan kurikulum bermula tahun 2026,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat semalam.
Fadhlina turut menegaskan bahawa pendekatan pendidikan berasaskan karakter akan menjadi landasan utama yang menyatukan keseluruhan sistem pembelajaran baharu KPM, seiring dengan hasrat untuk melahirkan generasi pelajar yang berakhlak tinggi dan seimbang dari segi emosi, intelek serta sosial.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh usaha KPM menangani isu kesihatan mental dalam kalangan murid melalui pelaksanaan saringan minda sihat dua kali setahun di sekolah.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda tekanan atau kemurungan, murid akan dirujuk untuk mendapatkan intervensi dan sokongan daripada pihak berautoriti termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Tambah beliau, selain intervensi bersama pakar psikiatri, KPM juga sedang memperkukuh latihan dan program khusus kepada guru serta kaunselor bagi membantu pelajar berdepan tekanan dan cabaran semasa.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.