Foto: Instagram
Pelakon Sweet Qismina meluahkan rasa hairan terhadap sikap segelintir pengguna media sosial yang gemar meninggalkan komen berbaur cacian, namun memilih untuk bersembunyi di sebalik akaun tanpa identiti.
Menerusi satu perkongsian di platform Threads, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi mempersoalkan keberanian individu yang bebas melontarkan kata-kata negatif walaupun menggunakan akaun tanpa gambar profil, tiada pengikut dan maklumat diri yang jelas.
“Saya bukan nak sindir sesiapa, tapi puas hati ke buat macam tu?” tulisnya.
Menurut Sweet, perbuatan tersebut mencerminkan kurangnya adab dan rasa tanggungjawab dalam berkomunikasi di media sosial. Katanya, menegur atau menyuarakan pendapat adalah perkara biasa, namun cara penyampaian memainkan peranan penting agar mesej tidak disalah tafsir atau melukakan perasaan orang lain.
“Kalau nak tegur, tegur elok-elok. Tak perlu sampai maki atau menjatuhkan orang,” luahnya lagi.
Pelakon itu turut mengakui dirinya sendiri masih dalam proses belajar untuk menerima kritikan, namun berharap agar masyarakat lebih peka bahawa setiap individu mempunyai perasaan. Baginya, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melepaskan kata-kata kebencian.
Luahan Sweet Qismina itu menerima sokongan ramai netizen yang bersetuju bahawa akaun palsu sering menjadi punca suasana media sosial menjadi tidak sihat. Ramai berpendapat perbezaan pandangan boleh diraikan, namun adab dan empati wajar diutamakan dalam setiap interaksi dalam talian.
Sumber: Threads
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.