
Foto: Bernama
Walaupun telah menghabiskan 23 tahun hidup di sebalik tirai besi, impian Murad untuk menimba ilmu setinggi mungkin tidak pernah pudar. Ketabahannya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pentadbiran Perniagaan sempena Majlis Konvokesyen ke-29 Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Murad (bukan nama sebenar), 38 tahun, yang mula menjalani hukuman sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Penjara Kajang sejak 2001 ketika berusia 14 tahun, memulakan perjalanan akademiknya pada tahun 2006 dengan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setahun kemudian.
Setelah tamat STPM, Murad yang berasal dari Kota Marudu, Sabah dan berpindah ke Semenanjung Malaysia ketika masih muda memohon untuk menyambung pengajian di OUM melalui Jabatan Penjara, walaupun mengakui keputusan itu bukan mudah kerana halangan serta pandangan skeptis di sekelilingnya. Selepas 16 tahun berdaftar di OUM bermula dengan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Dengan Kepujian, hari ini Murad akhirnya dianugerahkan PhD dalam Pentadbiran Perniagaan oleh Pro Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim, menandakan pencapaian cemerlang dalam perjalanan akademiknya.
Murad menyatakan rasa syukurnya kepada pihak OUM yang telah memberi kepercayaan dan sokongan sehingga beliau berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi, serta menjunjung kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana memberikan pengampunan dan peluang kedua.
“Saya terus cekal dan bersemangat untuk melanjutkan pelajaran kerana dorongan serta sokongan masyarakat. Saya mahu membuktikan kepada masyarakat dan rakan banduan bahawa saya juga mampu berubah dan berjaya,” katanya
Kini seorang mualaf, Murad berhasrat untuk memajukan bidang keusahawanan dalam kalangan bekas banduan dengan rancangan untuk memulakan perniagaan kecil, bagi memberi mereka peluang mencipta masa depan yang lebih baik. Beliau telah menerima pengampunan sempena Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-79 pada Disember tahun lalu.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.