
Dia tidak terkata. Semuanya berlaku dengan pantas sekali. Hanya seminit, dia sedang memulangkan baki wang tunai kepada pelanggan yang sudah selesai makan di kedai tersebut, Tiba-tiba, dia telah disoal siasat dengan pelbagai soalan daripada pegawai penguatkuasa.
Kenapa dia tidak terkata? Tak tahu nak cakap apa?
Rupa-rupanya, kotak dekoder yang digunakan di restoran itu telah menyiarkan kandungan secara tidak sah. Kotak itu terletak di sebelah televisyen dengan dipenuhi pelbagai kabel dan soket.

Juruwang tersebut terkedu apabila mengetahui ia merupakan satu jenayah apabila menyiarkan kandungan secara haram dan memiliki kotak dekoder televisyen tidak sah.
“Di dalam kotak dekoder Android TV ini mempunyai kandungan Astro. Awak tahu awak tak boleh buat begini? Ini melanggar hak cipta dan ia merupakan satu jenayah. Awak tahu itu?,” tegas pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Selepas dimaklumkan berkenaan itu, dia berterus terang dan mengaku tidak mengetahui tentang perihal ini. Malah, dia maklumkan ia milik pemilik restoran.
“Dia ada Astro di rumah. Mungkin dia gunakan akaun dirumahnya. Boleh awak buat begitu?,” tanya juruwang itu.
Pegawai tersebut yang mengetuai kes jenayah cetak rompak digital di Bukit Bintang, di sini, membalas dengan tegas dan katakan tidak.
“Ini juga salah,” jelas pegawai itu kepada juruwang restoran.
Astro mencadangkan agar Akta Keselamatan Dalam Talian dilaksanakan secepat mungkin bagi menyediakan benteng yang kukuh kepada rakyat jelata untuk menangkis gelombang kenaikan jenayah siber, termasuk cetak rompak digital.
Undang-undang terbabit katanya harus menekankan kepentingan terhadap perlindungan harta intelek dan pengukuhan ekosistem dalam talian.
Syarikat kandungan dan hiburan utama di Malaysia itu juga menggesa penyemakan semula undang-undang sedia ada bagi mengukuhkan kuasa pihak penguatkuasaan dalam membantu mereka untuk bertindak dengan lebih pantas demi kedaulatan digital Malaysia.
Ia termasuklah pelaksanaan ‘Dynamic IP Blocking’ yang digunakan dengan jayanya di Itali, Filipina, Greece dan UK.
Tegasnya, cetak rompak digital tidak boleh diberi toleransi dan golongan yang mengambil untung daripada perbuatan terbabit mesti dibawa ke muka pengadilan.
Kerajaan baru-baru ini memberitahu kerangka Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian sedang diperhalusi dan dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.