Foto: Harian Metro
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menegaskan bahawa pengambilan ketum, terutama secara berlebihan dan berterusan, boleh menjejaskan fungsi otak serta membawa kepada ketagihan serius.
Ketua Penolong Pengarah (Aduan, Risikan dan Operasi) AADK, Hamizan Haidzir, berkata ramai individu yang terjebak dengan ketum sering menggunakan alasan kononnya untuk tujuan perubatan atau kesihatan, sedangkan ia sebenarnya lebih kepada mencari keseronokan dan khayal.
“Salah satu bahan dalam ketum ialah *mitragynine*, sejenis bahan psikoaktif yang tersenarai di bawah Jadual Ketiga Akta Racun 1952. Pengambilan berterusan dalam kuantiti banyak boleh menyebabkan ketagihan serta mengganggu fungsi otak.
“Ia boleh membuat seseorang berkhayal, mengganggu persepsi dan melemahkan keupayaan kognitif. Malah, kesan ketum berlebihan boleh menyamai pengambilan dadah seperti heroin,” jelasnya.
Bancuhan Pekat, Campuran Bahan Lain Tambah Bahaya
Menurut Hamizan, trend pengambilan ketum dalam kalangan anak muda ketika ini lebih berbahaya kerana ia diambil dalam bancuhan pekat dan kerap, malah ada yang mencampurnya dengan bahan lain seperti ubat batuk bagi mendapatkan kesan lebih kuat.
Kebergantungan ini menjadikan ketagihan semakin serius dari hari ke hari.
Undang-undang dan Tindakan AADK
Hamizan menegaskan, setakat ini tiada cara penggunaan ketum yang dianggap selamat, malah pihak berkuasa tidak pernah mengesahkan tumbuhan tersebut sebagai ubat.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyangka pengambilan ketum bukan satu kesalahan kerana pihak AADK boleh mengambil tindakan berdasarkan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) yang berkuat kuasa sejak 22 Ogos lalu.
“Menerusi operasi yang dijalankan, kita boleh mengesan individu terbabit dengan pengambilan ketum melalui ujian air kencing. Jika dikesan awal, rawatan boleh membantu mereka pulih daripada ketagihan sama ada ketum, dadah atau gam,” katanya.
Rawatan Bergantung Pada Tahap Ketagihan
Mengulas mengenai tempoh rawatan, Hamizan menjelaskan ia berbeza mengikut individu. Bagi mereka yang baru mula terjebak, rawatan mungkin lebih singkat berbanding penagih yang sudah lama bergantung kepada bahan tersebut.
“Insya-Allah, dengan rawatan awal dan sokongan berterusan, masalah ketagihan ini boleh ditangani,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.