Foto: Tangkap layar skrin TikTok
Tindakan tiga orang pemuda yang memberikan sisa makanan berupa tulang ayam bersama nasi kepada seorang gelandangan mengundang kemarahan netizen selepas rakaman video perlakuan mereka tular di media sosial.
Dalam video berkenaan, ketiga-tiga pemuda tersebut dilihat berkunjung ke sebuah restoran makanan segera, di mana mereka menikmati hidangan ayam goreng yang dibeli. Namun, selepas selesai makan, mereka menyuarakan hasrat untuk melakukan aktiviti kebajikan. Salah seorang daripada mereka dilihat menyatakan bahawa tulang ayam yang telah dimakan tidak seharusnya dibuang begitu sahaja.
Lalu, mereka mengumpulkan tulang-tulang ayam tersebut dan mencampurkannya bersama nasi, kononnya untuk mengelakkan pembaziran makanan. Menurut pemuda itu, tulang tersebut masih boleh dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan bantuan makanan.
Mereka kemudian dilihat membungkus nasi bersama sisa tulang ayam itu dan keluar dari restoran tersebut untuk menyerahkannya kepada seorang gelandangan. Rakaman turut menunjukkan makanan berkenaan turut diberikan kepada anjing jalanan.
Video yang dimuat naik ke media sosial itu menerima kecaman hebat daripada orang ramai, yang rata-rata berpendapat bahawa tindakan tersebut tidak berperikemanusiaan dan menghina golongan kurang bernasib baik. Ramai menganggap tindakan memberi tulang ayam sebagai bentuk bantuan adalah satu penghinaan, bukan amal kebajikan.
Susulan kritikan bertubi-tubi dari pelbagai pihak, salah seorang pemuda yang terlibat tampil membuat penjelasan menerusi satu video baharu di Instagram. Dalam penjelasannya, beliau menyatakan bahawa video asal tersebut merupakan satu bentuk kandungan dirancang dan dilakukan dengan persetujuan gelandangan berkenaan.
“Ramai yang salah faham dan menyangka kami benar-benar memberikan tulang ayam kepadanya. Kami telah bertanya kepada dia sama ada boleh berlakon bersama kami untuk rakaman video tersebut,” katanya dalam video itu.
@brofirdauswong
Selepas ini, minta maaf, selesai. Alhamdulilah Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menghina orang miskin TETAPI Islam mengajarkan umatnya untuk membantu orang miskin. Ini hanya kebiadaban 3 remaja ini bukan keseluruhan kaum Cina. Inilah apa yang berlaku bila menyalahgunakan akal yang Allah kurniakan demi konten.
♬ original sound - FirdausWong
Beliau turut memohon maaf kepada masyarakat atas salah faham yang berlaku serta menjelaskan bahawa gelandangan itu sebenarnya menerima makanan lengkap berupa set ayam goreng berserta nasi selepas rakaman dibuat.
“Saya mohon maaf kepada semua. Kami tidak berniat untuk menghina mana-mana pihak,” tambahnya sambil menunjukkan bukti makanan sebenar yang telah diberikan kepada gelandangan itu.
Walau bagaimanapun, permohonan maaf tersebut gagal meredakan kemarahan netizen. Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan mereka, yang disifatkan tidak sensitif dan mempersendakan nasib orang susah semata-mata demi kandungan media sosial.
Seorang pengguna Instagram, eda_mohd62 menulis, “Konten sampah. Tak peduli sama ada anda rancang atau tidak, video seperti ini menunjukkan anda tidak menghormati golongan miskin atau gelandangan.”
Pengguna lain, eethengee turut melahirkan rasa tidak setuju, “Sama ada dirancang atau tidak, saya tidak nampak apa-apa perkara baik daripada video ini. Tiga orang bergelak ketawa seolah-olah menghina gelandangan.”
Sementara itu, qingwei_3232 pula menyelar niat mereka yang disifatkan tidak tulus, “Jika mahu memberi bantuan, perlukah hina terlebih dahulu? Adakah keluarga anda mengajar begitu?”
Insiden ini sekali lagi membangkitkan perbahasan tentang etika dalam penghasilan kandungan media sosial, khususnya apabila melibatkan golongan rentan seperti gelandangan.
Ramai pihak menyarankan agar pencipta kandungan lebih bertanggungjawab dan sensitif dalam usaha menyampaikan mesej atau melakukan aktiviti kebajikan agar tidak mencemarkan nilai kemanusiaan.
Sumber: TikTok @brofirdauswong
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.