
Foto: Berita Harian
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan tragis di Teluk Intan baru-baru ini, sebenarnya memiliki rekod penyelenggaraan yang baik meskipun telah lama digunakan.
Menurut beliau, walaupun kenderaan tersebut telah beroperasi sejak tahun 1997, ia masih diselenggara dengan sempurna dan layak digunakan untuk tugasan rasmi.
“Walaupun trak itu digunakan sejak 1997, ia mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik dan lulus pemeriksaan teknikal. Jadi, dari segi kelayakan untuk digunakan, ia menepati piawaian yang ditetapkan,” ujar beliau ketika ditemui media selepas menziarahi keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, salah seorang daripada sembilan anggota yang terkorban dalam nahas tersebut.
Kemalangan itu berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, ketika trak FRU yang membawa 18 anggota dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menjalankan operasi Op Chariot, telah dirempuh oleh sebuah lori muatan batu.
Insiden tersebut meragut sembilan nyawa anggota FRU dan menggemparkan negara, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai keselamatan aset dan anggota keselamatan yang bertugas di lapangan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata siasatan menyeluruh masih dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Beliau turut menasihatkan agar masyarakat tidak membuat spekulasi awal.
“Dalam hal ini, kita serahkan kepada siasatan yang sedang dijalankan. Sama ada ia berpunca daripada faktor manusia, teknikal atau lain-lain, kita tunggu hasil siasatan rasmi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri komited untuk melakukan penambahbaikan terhadap aset-aset jabatan di bawahnya, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi menjamin keselamatan dan kebajikan anggota.
“Kita akan buat penilaian semula terhadap aset-aset sedia ada, dan pastikan ia benar-benar bersesuaian dengan keperluan operasi serta memberi perlindungan maksimum kepada anggota yang menggunakannya,” jelas beliau.
Tragedi yang berlaku bukan sahaja mengorbankan nyawa, tetapi turut membuka ruang untuk pihak kerajaan meneliti semula prosedur keselamatan serta penggunaan kenderaan lama dalam tugasan operasi yang melibatkan pergerakan jarak jauh atau berisiko tinggi.
Sumber: Berita Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.