
Foto: Instagram
Guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat menyuarakan kebimbangannya terhadap 'trend' menjerit bagi menyerlahkan vokal tinggi seperti yang sering dilakukan kebanyakan penyanyi hari ini.
Menerusi temubual bersama Astro Gempak, Syafinaz memberitahu bahawa keghairahan mereka berbuat demikian semata-mata mahu memuaskan hati peminat boleh menyebabkan seseorang penyanyi berdepan risiko kehilangan suara.
"Sejujurnya, saya sangat takut melihat mereka menyanyi dalam nada tinggi sampai terjerit-jerit.
"Saya perhatikan, semakin ramai penonton bersorak dan memberi 'standing ovation', semakin seronok mereka menyanyi hingga memaksa diri untuk menjerit.
"Suara adalah aset buat penyanyi dan jika ia rosak atau hilang, memang tak boleh nak cari ganti," katanya ditemui pada sidang media Konsert Classical Treasures yang diadakan, di Kuala Lumpur, semalam.

Foto: Instagram
Sebagai pendidik, Syafinaz turut memperbetulkan salah faham orang ramai yang menganggap menyanyi dalam nada tinggi membuatkan seseorang penyanyi nampak lebih bagus dari penyanyi lain.
"Setiap penyanyi ada julat suara tersendiri. Ketinggian nada suara pula berbeza-beza.
"Mungkin tahap ketinggian suara penyanyi A tak sama dengan penyanyi B, tapi kedua-duanya masih boleh menyanyi dalam nada tinggi,” ujarnya.
Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Ingin Bersamamu menjelaskan bahawa tidak salah untuk menyanyi dalam nada tinggi, namun harus mempunyai nilai seni.
"Tapi kebanyakannya tak nampak nilai seni. Kadang-kadang yang menjerit suara tak sampai pun," ujar juri tetap Gegar Vaganza musin kesebelas (GV11) ini,” jelasnya lagi.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.