
Foto: Astro Audio
Sempena sambutan Minggu Memperingati Ibu, stesen radio popular SINAR tampil dengan kelainan apabila menganjurkan perlumbaan gokart yang bukan sahaja meriah, tetapi turut menyatukan barisan penyampai radio dengan para peminat setia mereka dalam satu aktiviti lasak yang penuh gelak tawa dan kenangan manis.
Acara istimewa itu yang berlangsung di Monkey Canopy, Kajang, menyaksikan Trio Petang SINAR iaitu Falyq, Hefny, dan Sharifah Shahirah turun padang beraksi di atas litar bersama tiga orang pendengar bertuah, yang dikenali sebagai SINARIAN.
Mereka dipilih menerusi sesi penyertaan WhatsApp, yang mencari individu yang berani, pantas, dan gemarkan aktiviti mencabar.
Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Awendy memberitahu bahawa objektif utama penganjuran acara ini adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan para ibu, khususnya dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan.
““Kami ingin memberi kegembiraan kepada ibu-ibu sempena sambutan istimewa ini. Mereka sentiasa bertungkus-lumus menguruskan hal rumah tangga.
Dari memasak hingga menghantar anak ke sekolah. Ini adalah cara kami menyatakan penghargaan kepada mereka,” ujar Zureen.
Lebih menarik, acara tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran dua selebriti tanah air, Ieda Moin dan Nazia Mustafa, yang turut sama turun ke litar sebagai tanda sokongan kepada inisiatif SINAR dan juga kepada para ibu yang diraikan.
Walaupun perlumbaan tersebut akhirnya dimenangi oleh Kak Sheera, semua peserta dan tetamu yang hadir bersetuju bahawa kemenangan sebenar adalah suasana keakraban yang terjalin sepanjang acara berlangsung.
“Ini bukan sekadar perlumbaan, tetapi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kami amat menghargai masa yang diluangkan oleh para SINARIAN yang terpilih,” tambah Zureen.
Gelak ketawa, sorakan semangat, dan peluh yang menitis di bawah terik matahari menjadi simbol kasih dan penghargaan terhadap golongan ibu yang sering kali meletakkan keperluan orang lain melebihi diri mereka sendiri.
SINAR turut memberi bayangan bahawa acara seperti ini bukan yang terakhir, malah berhasrat untuk meluaskan skala penganjurannya pada masa akan datang, agar lebih ramai ibu dari pelbagai latar belakang dapat diraikan dengan cara yang unik dan menyenangkan.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.