Pada khamis, seekor ular sawa sepanjang hampir empat meter yang kekenyangan selepas menelan seekor anak kambing berjaya ditangkap di Kampung Suasa.
Ular seberat lebih kurang 25 kilogram itu ditemui di dalam kandang kambing pada jam 12.30 tengah hari selepas pemilik kambing menyedari kehadiran haiwan tersebut.
Susulan kejadian itu, pemilik terbabit bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort dikejar ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seekor ular sawa berada di dalam sebuah kandang kambing.
"Hasil pemeriksaan mendapati ular itu telah menelan seekor anak kambing," katanya.
Tambahnya lagi, pasukan bomba mengambil masa selama 10 minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas.
"Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini dan operasi ditamatkan pada jam 1.23 petang," katanya.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.