Foto: Tangkap layar video TikTok
Dalam kehangatan orang ramai membuat persiapan sempena Tahun Baharu Cina dan ketibaan Ramadan yang jatuh pada minggu sama, seorang peniaga pasar basah mencuri perhatian dengan cara tersendiri.
Ketika pelanggan sedang sibuk memilih sayur, ayam dan ikan, kedengaran satu pengumuman melalui pembesar suara yang bukan sekadar memaklumkan harga, sebaliknya memberi peringatan awal supaya tidak bertangguh membeli barangan keperluan untuk puasa.
Dengan nada tegas tetapi bersahaja, peniaga berkenaan mengingatkan bahawa minggu berikutnya bekalan mungkin terjejas kerana banyak lori penghantaran tidak beroperasi.
“Sayur, ayam, ikan sekali tidak ada. Jangan tunggu minggu depan baru beli barang untuk puasa.
“Minggu ini kena settle, minggu depan semua lori tidak jalan. Minggu ini beli cukup ya,” katanya.
Pesanan menerusi rakaman video yang dimuat naik ke TikTok itu menerima pelbagai reaksi positif, malah ramai menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah prihatin yang jarang dilakukan.
Warganet turut berseloroh bahawa peringatan awal itu mungkin menyelamatkan ramai daripada situasi panik mencari bahan mentah saat akhir. Dalam suasana dua perayaan besar yang bertembung, pesanan ringkas itu dilihat cukup bermakna.
Antara komen yang ditinggalkan memuji sikapnya yang bukan sahaja berniaga, malah sempat mengambil berat tentang persiapan pelanggan. Ada yang menyifatkan ‘uncle’ tersebut sebagai peniaga yang ‘fikir jauh ke depan’, memastikan orang ramai tidak berdepan kesukaran apabila cuti panjang bermula.
Ringkasnya, dalam kesibukan pasar yang tidak pernah sunyi, suara uncle tersebut berjaya menjadi peringatan yang tepat pada masanya, santai tetapi penuh makna.
Sumber: TikTok @ah.new.fishery.sd
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.