Foto: Instagram
Pendakwah bebas, Ustaz Wan Halim tampil menjelaskan kekeliruan berhubung isu sah perkahwinan yang menjadi bualan ramai baru-baru ini.
Dalam temu bual bersama ERA, beliau menegaskan bahawa sesuatu perkahwinan tetap sah jika memenuhi lima rukun nikah, iaitu adanya pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi lelaki beragama Islam serta berakal, dan berlangsungnya ijab kabul yang sah.
“Selain itu, dari sudut pentadbiran, perkahwinan perlu mendapat kebenaran rasmi daripada Jabatan Agama Islam Negeri. Jika sudah mendapat kelulusan dan kebenaran nikah, maka pernikahan itu sah,” katanya.
Ustaz Wan Halim turut menasihatkan agar pasangan yang berkahwin menyemak semula dokumen pernikahan mereka termasuk sijil nikah bagi memastikan tiada kesilapan maklumat seperti tarikh atau lokasi perkahwinan.
“Pihak berwajib juga perlu peka dengan butiran ini. Sijil perlu disemak semula, terutama pada bahagian tarikh yang tercatat. Jika ada perbezaan, Jabatan Agama perlu membuat pembetulan selepas merujuk saksi-saksi yang hadir semasa akad nikah,” ujarnya.
Menurut beliau, situasi seperti perbezaan tarikh nikah sepatutnya tidak berlaku kerana biasanya penolong pendaftar nikah, cerai dan rujuk (TPNCR) akan menyiapkan semua butiran rasmi sejurus akad nikah selesai.
“Perkara ini sebenarnya tidak akan berlaku kerana selepas akad nikah dijalankan, TPNCR akan terus menulis tempat dan masa pernikahan pada borang rasmi. Jika ada perubahan, borang baharu hanya diisi selepas akad dijalankan,” jelasnya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian tanpa mendapatkan kesahihan daripada pihak berautoriti.
“Isu seperti ini perlu disahkan terlebih dahulu dengan rujukan daripada pelbagai sumber seperti Jabatan Agama Islam, saksi, dan pengantin sendiri. Jangan hanya mendengar sebelah pihak,” pesannya.
Terdahulu, isu status perkahwinan pelakon Uqasha Senrose dan aktor Kamal Adli menjadi perhatian selepas timbul dakwaan tarikh pernikahan mereka tidak tepat seperti tercatat dalam sijil rasmi.
Sumber: Instagram @era.je
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.