Dunia penyiaran kehilangan seorang veteran personaliti televisyen Amerika Syarikat, Larry King yang telah disahkan meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Berita kematian ikon televisyen itu disahkan oleh satu kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya sendiri (@kingsthings) pada Sabtu.
“Dengan amat dukacitanya, Ora Media mengumumkan kematian pengasas bersama, selaku tuan rumah, dan rakan kami iaitu Larry King, yang meninggal dunia pagi ini pada usia 87 tahun,” jelas kenyataan tersebut.
King disahkan meninggal dunia pada jam 7:45 pagi waktu tempatan di Cedars Sinai Medical Center di Los Angeles.
King, menghidap diabetes tahap dua dan mempunyai sejarah isu perubatan yang panjang termasuk serangan jantung dan barah paru-paru serta angina, iaitu masalah pengurangan aliran darah ke jantung.
Sepanjang karier King dalam industri penyiaran, beliau telah menemu bual ramai orang ternama seperti Madonna, Lady Gaga, Hillary Clinton, bekas Presiden AS, Bill Clinton dan Donald Trump.
Mendiang amat dikenali dengan imej melipat lengan kemeja, tali leher berwarna-warni, suspender dan cermin mata besar.
Sebelum ini, King, dimasukkan ke hospital pada 3 Januari lalu selepas dijangkiti COVID-19.
Sumber: Awani // Los Angeles Times
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.