Sejak awal pagi tadi tular video seorang pensyarah didakwa memarahi seorang pelajar yang tidak mempunyai komputer riba. Bagaimanapun video tersebut bukanlah video baru namun hanya dimuat naik di media sosial malam tadi.
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya difahamkan ia merupakan kejadian yang berlaku pada semester lalu.
“Saya difahamkan bahawa perkara tersebut berlaku semester lepas dan bukannya semalam jadi maknanya isu ini mesti ada perancangan mengapa ia dimuat naik semalam (Selasa).
“Apa pun kami dah ambil tindakan dan insya-Allah kita sentiasa ingin berikan yang terbaik buat semua pelajar,” katanya ketika ditemui media pada Rabu.
Beliau turut mengesahkan bahawa pensyarah tersebut merupakan lantikan kontrak UiTM dan masih lagi mengajar di UiTM Seri Iskandar, Perak.
Video yang tular mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat yang tidak bersetuju dengan cara pensyarah terbabit serta seolah-oleh merendahkan mereka yang berada dalam golongan B40.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.