Foto: Instagram
Seorang graduan undang-undang dari Michigan, Amerika Syarikat (AS), mencipta sejarah apabila menjadi wanita bertudung pertama memenangi pertandingan ratu cantik di negara itu sekali gus menarik perhatian dunia terhadap perubahan landskap pertandingan ratu cantik di AS.
Ameera Hashwi, 25, yang berasal dari Dearborn Heights, Detroit, dinobatkan sebagai Miss Wayne County 2025 pada Ahad lalu. Kemenangan ini bukan sahaja menjadikan beliau wanita berhijab pertama menyandang gelaran tersebut, malah melambangkan keterbukaan pertandingan itu terhadap kepelbagaian budaya dan agama.
Dearborn Heights terkenal sebagai sebuah bandar yang mempunyai populasi besar masyarakat Arab dan Asia Barat. Justeru, kemenangan Ameera telah mencetuskan rasa bangga dalam kalangan penduduk setempat yang melihat pencapaian ini sebagai satu kemenangan bersama.
“Helo, nama saya Ameera,” ujar beliau dengan senyuman penuh kegembiraan ketika menerima jambangan bunga dan lencana kemenangan, sebagaimana dikongsikan menerusi hantaran di Instagram.
Dalam segmen persembahan bakat, Ameera memukau para juri dan penonton dengan nyanyian penuh penghayatan lagu Koul Chi Aam Yekhlass, yang dipopularkan oleh penyanyi legenda Lubnan, Majida El Roumi. Persembahan itu mendapat sorakan gemuruh dan pujian kerana berjaya menggabungkan bakat seni dengan sentuhan budaya Timur Tengah.
Kemenangan Ameera mendapat pelbagai reaksi positif, bukan sahaja daripada komuniti Arab-Amerika, malah dari pelbagai lapisan masyarakat di AS dan luar negara. Ramai melihatnya sebagai lambang keberanian dan keyakinan diri, terutama dalam memecahkan stereotaip bahawa pertandingan ratu cantik hanya terhad kepada penampilan tertentu.
Sumber: Mail.Online
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.