Foto: Kosmo
Pelawak dan pelakon terkenal, Yassin Senario atau nama sebenarnya Yassin Yahya, 47 tahun, akhirnya membuka cerita tentang detik sukar yang dilaluinya apabila ditahan selama enam bulan di Jeddah, Arab Saudi sebelum dibebaskan baru-baru ini.
Memetik laporan Kosmo, beliau menegaskan penahanan tersebut tidak ada kaitan dengan sebarang kesalahan berkaitan dadah seperti yang didakwa sebelum ini, sebaliknya ia berpunca daripada salah faham pihak berkuasa Arab Saudi terhadap beberapa barangan peribadinya.
Menurut Yassin, ketika dalam penerbangan selama lapan jam ke Jeddah, beliau mula memikirkan bagaimana cara untuk merokok di sana kerana peraturan yang ketat.
Sebagai persediaan, beliau membeli rokok kertas, alat pengisar atau ‘grinder’ serta sekotak rokok di lapangan terbang sebelum berlepas. Namun, setibanya di Jeddah, ketika dalam transit ke Madinah, begnya diperiksa pihak kastam.
Mereka mendapati sesuatu yang mencurigakan pada alat ‘grinder’ miliknya yang mempunyai lambang tertentu, lalu mengarahkan beliau membuka beg untuk pemeriksaan lanjut.
Ketika itu, Yassin cuba memberi penjelasan bahawa barangan tersebut hanyalah untuk merokok dan menyarankan agar mereka melakukan ujian air kencing jika ragu-ragu.
Walaupun beliau cuba menjelaskan keadaan, pihak berkuasa tetap membawa beliau ke bilik soal siasat dan menahan beliau di situ. Dalam satu rakaman audio yang dikongsi, Yassin berkata dia terpaksa meninggalkan mutawif yang menemaninya kerana mereka perlu mengejar penerbangan seterusnya, tetapi beliau sendiri dibawa untuk soal siasat lebih lanjut.
Yassin turut berkongsi bahawa dia ke Tanah Suci atas tajaan menunaikan umrah bersama 24 artis veteran yang lain. Ia merupakan impian yang sangat bermakna baginya dan beliau sangat teruja serta menganggap perjalanan itu sebagai satu petanda baik selepas mendapat restu daripada ibu dan isteri.
Walaupun tidak sempat mengikuti kursus umrah secara formal, Yassin belajar sendiri melalui YouTube demi memastikan dirinya mampu menjalankan ibadah tersebut dengan baik. Ketika itu kumpulan Senario baru saja menang Anugerah Artis Komedi Popular, dan beliau ingin mewakili mereka untuk mendoakan kejayaan.
Namun, harapan dan kegembiraan tersebut tidak disangka berakhir dengan penahanan di sebuah lokap khas tahanan dadah di Jeddah.
Yassin menceritakan selepas sesi soal siasat, dia menyangka akan dilepaskan, tetapi sebaliknya dia digari dan dibawa dengan kenderaan polis ke balai. Segala barangan peribadinya termasuk beg dan telefon dirampas, dan dia dimasukkan ke sel tahanan yang khusus untuk kes berkaitan dadah.
Yassin mengakui dia tidak memahami apa salahnya kerana barangan tersebut bukan bahan terlarang. Beliau merasa jika lambang pada barangan boleh menimbulkan masalah, sepatutnya dia sudah ditahan sejak di Malaysia lagi. Dalam keadaan yang penuh tekanan dan kekeliruan, Yassin hanya mampu berserah kepada Allah dan membaca zikir agar diberi kekuatan menghadapi dugaan tersebut.
Selepas menjalani tempoh tahanan selama enam bulan, Yassin akhirnya selamat pulang ke tanah air minggu lalu. Walaupun pengalaman itu sangat mencabar, beliau tetap bersyukur kerana dapat melalui ujian itu dan kini bertekad untuk terus fokus kepada kerjaya seni serta kehidupan yang lebih baik.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.