Foto: Facebook
Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu hari ini diberitahu bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu.
Pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata beliau menjumpai remaja itu terlentang dengan kesan darah di bahagian tengkuk kira-kira jam 3 pagi.
Menurut Linah, beliau bertugas dari jam 8 malam, 15 Julai hingga 8 pagi keesokan harinya dan ketika melakukan rondaan sekitar jam 2 pagi di asrama Blok Rabiatul Adawiyah, tiada sebarang insiden luar biasa berlaku.
“Saya kemudian bergerak ke blok asrama bersebelahan iaitu Blok Sumayyah untuk rondaan seterusnya. Sekitar jam 3 pagi, seorang pelajar memaklumkan ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah.
“Saya segera bergegas ke lokasi dan mendapati seorang pelajar dikenali sebagai Zara terlentang di dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika membaca pernyataan saksi pada prosiding hari kelima inkues di hadapan Koroner, Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan.
Saksi keenam itu berkata, beliau kemudian menghubungi Ketua Warden Asrama, Azhari Abd Sagap, untuk memaklumkan kejadian selain merakam sekeping gambar keadaan mangsa.
“Selepas Ustaz Azhari tiba, beliau terus menghubungi pihak hospital. Ambulans tiba kira-kira jam 4 pagi dan pelajar terbabit dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan,” katanya.
Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina masih diteruskan dengan keterangan daripada beberapa saksi lain.
Sumber: Astro AWANI
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.