Foto: Instagram
Penyanyi terkenal, Zizi Kirana atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, menyifatkan perbuatan membuli sebagai tanda kelemahan jiwa dan ketiadaan keyakinan diri pada individu yang melakukannya. Beliau menegaskan bahawa pembuli tidak pernah hebat seperti yang mereka sangkakan.
“Pembuli tidak pernah hebat. Mereka hanyalah manusia kosong yang takut melihat orang lain lebih baik daripada diri mereka. Mereka memijak orang lain bukan kerana kekuatan, tetapi kerana kelemahan diri.
“Mereka bersifat manipulatif, tidak yakin pada diri sendiri, tiada empati, dan semua sifat itu hanyalah topeng untuk menutup hakikat bahawa mereka tidak mampu berdepan dengan diri sendiri.
“Kita mahu tahu siapa yang sebenarnya ‘kalah’? Mereka adalah orang yang perlu menjatuhkan orang lain untuk merasakan diri bernilai,” kata Zizi menerusi hantaran di platform Threads.
Pandangan penyanyi lagu Eh itu turut mendapat sokongan ramai. Netizen berpendapat bahawa pembuli merupakan individu pengecut yang sering bergantung kepada kumpulan untuk menampakkan diri mereka kuat.
“Betul, pembuli hanya berani apabila mereka beramai-ramai. Semoga keadilan dapat ditegakkan untuk arwah Zara Qairina,” tulis seorang pengikut.
Terdahulu, kes kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, iaitu Allahyarhamah Zara Qairina, mendapat perhatian ramai. Beliau dilaporkan meninggal dunia pada 16 Julai lalu dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah.
Ibu arwah, Noraidah Lamat, menggesa agar siasatan dijalankan secara telus, adil dan saksama. Pada 9 Ogos lalu, mayat arwah digali semula dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat. Jenazah kemudiannya dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang.
Sumber: Thread
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.