Foto: Facebook
Zoo Aalborg di Denmark menyeru para pemilik haiwan peliharaan agar mempertimbangkan untuk menyumbangkan haiwan mereka kepada zoo tersebut bagi dijadikan makanan kepada haiwan pemangsa, lapor portal MailOnline.
Menurut pihak pengurusan zoo yang menempatkan lebih 1,500 ekor haiwan daripada 126 spesies, inisiatif itu bertujuan meniru kitaran rantaian makanan semula jadi demi memenuhi keperluan pemakanan haiwan pemangsa yang dipelihara, termasuk harimau dan singa.
Antara haiwan peliharaan yang dicadangkan untuk dijadikan makanan termasuk ayam, arnab dan tikus belanda, yang dianggap sesuai sebagai sebahagian daripada diet semula jadi pemangsa tersebut.
Dalam satu kenyataan di laman Instagram rasmi mereka yang memiliki lebih 23,000 pengikut, pihak zoo menjelaskan bahawa haiwan yang disumbangkan akan disuntik oleh kakitangan terlatih bagi memastikan proses tersebut dilakukan secara beretika sebelum diberikan kepada haiwan pemangsa.
“Sekiranya anda mempunyai haiwan yang sihat dan perlu diserahkan atas pelbagai sebab, kami mengalu-alukan sumbangan anda. Jangan segan untuk menghubungi kami,” demikian menurut kenyataan itu.
Sekadar info, Zoo Aalborg yang terletak di wilayah Jutland, Denmark, telah beroperasi sejak tahun 1935 dan meliputi kawasan seluas lapan hektar.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.